INCHEON: Pemain beregu lelaki negara, Tan Boon Heong terpaksa melupakan seketika hasratnya untuk beraksi pada Sukan Asia ke-17 di sini akibat kecederaan pada paha kiri dialaminya ketika menjalani latihan di Stadium Juara Bukit Kiara, Kuala Lumpur pada Jumaat lalu. Tan yang sepatutnya berganding dengan Hoon Thien How tidak dapat turun gelanggang pada perlawanan kedua acara beregu lelaki yang dijadualkan berlangsung di Gynasium Gyeyang pada 24 September ini setelah mendapat 'bye' untuk perlawanan pertama. Jurulatih beregu kebangsaan, Pang Cheh Chang berkata Tan dijangka tidak dapat beraksi dalam beberapa perlawanan awal dan tugas tersebut akan diambil alih oleh Hoon Thien How. "Amat merisaukan saya apabila pemain simpanan, Lim Khim Wah turut sama mengalami kecederaan pada bahagian tumit kaki kanan ketika melakukan latihan lompatan pada Rabu lepas menyebabkan saya terpaksa membuat keputusan segera mengantikan tempat Tan dengan pemain lain," katanya kepada Bernama pada sesi latihanan atlet badminton negara di Gynasium Gyeyang, Khamis. Beliau berkata ini merupakan kali pertama pemain berusia 27 tahun itu mengalami kecederaan pada bahagian paha. "Kita masih belum membawa Tan berjumpa dengan doktor dari Institut Sukan Negara (ISN) bagi mengetahui sejauh mana tahap kecederaan yang dialaminya setakat ini," kata Pang. Sementara itu, Tan berkata beliau akan segera membuat rujukan dengan pakar ISN bagi mendapat nasihat mengenai tahap kecederaan yang dialaminya. "Saya harap dapat segera pulih dari kecederaan agar dapat beraksi menentang Macau ataupun Mongolia pada 24 September nanti kerana telah melakukan persiapan dengan bersungguh-sungguh sebelum ini," katanya. Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menyasarkan sekurang-kurangnya dua pingat perak (dalam acara perseorangan dan beregu lelaki) dan gangsa (pasukan lelaki) pada temasya ini. Pada Sukan Asia Guangzhou empat tahun alu, Malaysia memenangi dua pingat perak menerusi Lee Chong Wei (perseorangan lelaki) dan Koo Kien Keat-Tan Boon Heong (beregu lelaki).