suria

Misi Buru Pingat Sukan Asia Bermula

INCHEON: Sebaik tirai temasya Sukan Asia ke-17 di Incheon, Korea Selatan dibuka pada Jumaat, tumpuan negara pastinya kepada  kemampuan atlet Malaysia mencapai sasaran lapan pingat emas yang ditetapkan Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

Bagi warga sukan, sudah pastinya seluruh anggota kontinjen mahu memadam episod duka Sukan Komanwel di Glasgow, Scotland dan menggantikan dengan  kisah baru bagi mengembalikan imej sukan negara.

Selain itu, turut dibawa bersama cabaran negara kali ini adalah matlamat mencipta sedikit keceriaan kepada tanah air yang dilanda beberapa tragedi  menyayat hati termasuk kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 dantragedi MH17.

Diketuai Datuk Daniyal Balagopal Abdullah, kontinjen negara yang terdiri daripada 280 atlet dan 141 pegawai akan memulakan aksi memburu pingat dalam 25 daripada 36 acara sukan yang dipertandingkan bermula 20 September ini.

Kontinjen negara menyertai acara memanah, olahraga, badminton, boling, akuatik, terjun, tinju, angkat berat, kriket, berbasikal, ekuestrian, golf,gimnastik, hoki, kabaddi, karate, ragbi, pelayaran, sepak takraw, menembak, skuasy, ping pong, taekwondo, bola tampar pantai dan wushu.

Atlet negara bakal memulakan aksi memburu pingat pada 20 September dalam beberapa acara termasuk berbasikal trek, wushu, menembak dan renang berirama.

Walaupun sasaran lapan pingat emas, yang lebih rendah daripada pencapaian di Guangzhou, China pada 2010, namun bagi Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin dan semua pentadbiran sukan termasuk  Majlis Sukan Negara (MSN), Institut Sukan Negara (ISN) dan MOM, ia sasaran yang bertanggungjawab dan realistik.

Sasaran dilakukan berdasarkan penilaian prestasi terkini para atlet kebangsaan serta kekuatan pihak lawan masing-masing, di samping meletakkan sasaran  kepada beberapa sukan bukan tradisi pingat emas yang dilihat mampudicapai atlet bertanding.

Selain mencapai sasaran pingat, kontinjen negara juga dipertanggungjawabkan membawa pulang keputusan memberangsangkan dalam pencapaian rekod  peribadi masing-masing yang telah diberikan kayu ukur oleh badan pengurusan sukan.

Ini bermakna tidak ada lagi istilah 'makan angin' kepada semua atlet negara kerana masing-masing perlu kembali ke tanah air walaupun tanpa pingat, mereka diharuskan membentangkan prestasi yang dicapai untuk masa depan kerjaya sebagai atlet negara.

Sepanjang penyertaan di Sukan Asia, kontinjen Malaysia meraih empat pingat emas di Hiroshima, Jepun (1994), lima emas di Bangkok, Thailand (1998), enam emas di Busan, Korea Selatan (2002), lapan emas di Doha, Qatar (2006) dan sembilan emas di Guangzhou, China (2010) yang juga adalah pencapaian terbaik negara.  

Acara skuasy menjadi penyumbang pingat terbaik di Guangzhou dengan tiga pingat emas, satu perak dan dua gangsa dan diikuti karate (2 emas, 2 perak 1  gangsa) dan bowling (2-1-1).

Temasya ke-17 ini yang bermula dari 19 Sept hingga 4 Okt  adalah yang ketiga buat Korea Selatan selaku tuan rumah selepas 1986 di Seoul dan 2002 di Busan dengan mempertandingkan 439 acara terdiri daripada 230 lelaki dan 196 wanita serta 13 campuran/terbuka.

Temasya ini  bermula dengan upacara perasmian esok di Incheon Asiad Main Stadium membabitkan hampir 13,000 atlet dan pegawai dan  turut mendapat liputan meluas hampir 7,000 media elektronik dan cetak daripada 45 negara peserta.

Terdapat sebanyak 49 venue pertandingan dan 48 venue latihan bakal digunakan sepanjang temasya berlangsung.

Sepuluh venue pertandingan bakal diadakan  dienam bandar di daerah Gyeonggi manakala dua venue pertandingan di Chungju dan Seoul dan selebihnya di Incheon.

Slogan untuk temasya Sukan Asia 2014 adalah 'Diversity Shines Here' (Kepelbagaian Bersinar Di Sini) yang mengetengahkan kepentingan kepelbagaiannegara Asia yang indah dengan sejarah, budaya dan agama.

Maskot temasya Sukan Asia kali ini adalah tiga ekor anjing laut yang dinamakan Barame, Chumuro dan Vichuan.

sukan asia incheon

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain