JOSE MOURINHO mendakwa penyerangnya, Diego Costa tidak mampu bermain lebih daripada satu perlawanan dalam tempoh seminggu berikutan kecederaan hamstring yang dialami. Costa yang menjaringkan tujuh gol untuk Chelsea dalam Liga Perdana Inggeris setakat ini terpaksa menjadi pemain simpanan pada perlawanan Liga Juara-juara Eropah bertemu Schalke yang menyaksikan skuad tersebut seri 1-1 di gelanggang sendiri. Costa (kanan) dan Loic Remy. Kecederaan Costa turut mendorong Mourinho menyalahkan skuad kebangsaan Sepanyol yang didakwa gagal menyelia masalah otot pemain dengan baik. "Dia (Costa) ke skuad kebangsaan dalam keadaan sempurna tetapi pulang dengan kecederaan. "Apa yang berlaku pada Costa turut menimpa banyak pemain negara lain. Saya tidak ada lain untuk berkata. "Dia bermain satu perlawanan dengan baik, kemudian bila bersama pasukan kebangsaan dan bermain menentang Perancis, dia pulang dalam kecederaan," jelasnya. Dalam perlawanan bertemu Schalke, Costa dimasukkan ketika perlawanan berbaki 17 minit. Dalam perlawanan seterusnya, Chelsea memerlukan khidmat Costa untuk berdepan Manchester City pada Ahad ini.