suria

Sukan Asia: Diana Mahu Ulangi Penyumbang Emas Pertama Negara

INCHEON: Selepas muncul penyumbang pingat emas pertama negara dalam Sukan SEA ke-27 pada 2013, atlet wushu wanita Diana Bong Siong Lin mahu sekali lagi mencipta nama pada temasya Sukan Asia ke-17.

Diana, 29, tidak sabar untuk mengukir nama sebagai penyumbang emas pertama kontinjen negara apabila membuka langkah dalam acara Nandao dan Nanquan pada Sabtu.

Beliau bersama penyandang pingat gangsa, Tai Cheau Xuan akan bersaing dalam acara tersebut di Gimnasium Dolmens Ganghwa, kira-kira 51km, dari Perkampungan Atlet.

Selaku juara dunia pada edisi ke-12 di Kuala Lumpur, tahun lepas, Diana berkata beliau tidak mahu terlepas peluang untuk meraih pingat emas selepas hanya mampu menduduki tempat kelima pada edisi lepas di Guangzhou, China, pada2010.

"Ketika di Guangzhou...saya telah melakukan beberapa kesilapan yang menyebabkan saya kehilangan mata, namun pada kali ini saya akan cuba melakukan aksi dengan  lebih berhati-hati. Sedikit sahaja kesilapan akan menjejas kutipan mata oleh itu saya lebih berhati-hati terutamanya ketika mendarat selepas melakukan aksi lompatan," katanya.

Pemenang pingat gangsa Sukan Asia Doha 2006 itu berkata beliau telah berlatih dengan bersungguh-sungguh bagi memperbaiki kelemahan yang ada.

"Saya harap esok (Sabtu) semua berlangsung dengan baik kerana saya telah bersedia sepenuhnya untuk menghadapi cabaran tersebut," katanya.

Diana berkata pingat emas di Incheon amat berharga bagi dirinya, oleh itu beliau perlu melakukan aksi dengan bersungguh-sungguh berbanding sebelum ini.

Selain Diana dan Cheau Xuen, rakan sepasukan Lee Wei Loong akan beraksi dalam acara lelaki Sandoo (tempur). Pada Sukan Asia 2010, kem wushu negara berjaya membawa pulang satu pingat emas dan satu pingat gangsa masing-masing  menerusi Chai Fong Ying (acara TauloTaijijian/Taijiquan) dan pingat gangsa oleh Tai Cheau Xuen (acara TaoluNando/Nanquan). 

Sukan Asia, Diana Bong Siong Lin

Artikel Berikut

Artikel Lain