INCHEON: Selepas menjalani latihan selama enam bulan, skuad kabadi negara kini memasang impian tinggi untuk membawa pulang pingat gangsa daripada temasya Sukan Asia ke-17. Meskipun hanya menduduki tempat kelima pada edisi 2002 di Busan, Korea Selatan dan ketujuh pada 2010 di Guangzhou, China, pemain negara Justin Jonhsan berkata skuad negara semakin mantap jika dibandingkan sebelum ini. Beliau percaya skuad negara mampu melakukan kejutan walaupun terpaksa berdepan dengan penyandang pingat perak, Iran dan pasukan tuan rumah, Korea Selatan dalam saingan peringkat Kumpulan B. Selain itu, Jepun turut tersenarai dalam kumpulan sama. "Saya dan rakan sepasukan akan cuba melakukan yang terbaik walaupun tidak ada sasaran rasmi untuk sukan kabadi," katanya kepada Bernama, Jumaat. "Kita mungkin tidak mempunyai masalah untuk mengalahkan Iran namun dijangka menghadapi keadaan sukar apabila berdepan dengan Jepun dan Korea Selatan," katanya. Dalam Kumpulan A, India akan memburu pingat emas ketujuh berturut-turut sejak acara itu diperkenalkan dalam temasya itu pada 1990. Selain India, penyandang pingat gangsa Pakistan, Thailand dan Bangladesh turut disenaraikan dalam kumpulan itu.