KEJOHANAN Piala Dunia 2022 tidak akan diadakan di Qatar selepas mengambil kira suhu panas yang melampau di negara Timur Tengah itu, kata Ahli Jawatankuasa Eksekutif FIFA, Theo Zwanziger kepada media Jerman pada Isnin. "Pendapat peribadi saya Kejohanan Piala Dunia 2022 akhirnya tidak akan diadakan di Qatar. "Doktor berkata mereka tidak boleh mengambil risiko sekiranya kejohanan tersebut diadakan di dalam keadaan cuaca panas melampau," katanya. Walaupun Qatar menegaskan cuaca tersebut boleh diatasi dengan teknologi penyejukan di beberapa stadium, kawasan latihan dan zon penyokong, timbul kebimbangan terhadap tahap kesihatan pemain dan penyokong yang hadir. "Teknologi itu mampu menyejukkan stadium tetapi kejohanan tidak hanya membabitkan stadium. "Penyokong dari seluruh dunia akan hadir dan berkunjung ke negara yang panas terik ini," katanya. Bagaimanapun, pegawai FIFA memberitahu Reuters bahawa kenyataan Zwanziger tidak mewakili semua jawatankuasa eksekutif badan itu. "Dia hanya menyuarakan pandangan peribadinya. Kami enggan mengulas lanjut," kata jurucakap FIFA, Delia Fischer. Presiden FIFA, Sepp Blatter pada Mei lalu mengakui, memberikan hak tuan rumah Piala Dunia 2022 kepada Qatar adalah satu kesilapan. Sebaliknya, beliau berkata, kejohanan tersebut sepatutnya diadakan pada musim sejuk di Eropah. "Ia mungkin satu kesilapan yang kami lakukan ketika itu (memilih Qatar sebagai tuan rumah Piala Dunia)," ujar Blatter.