INCHEON: Walaupun mengungguli acara pada sebelah pagi (blok pertama) dengan kutipan mata tertinggi, pemain tenpin boling elit negara Zulmazran Zulkifli terpaksa menerima hakikat kekalahan apabila pesaingnya mula meningkatkan kutipan mata pada sebelah petang (blok kedua). Zulmazran, yang dikatakan bakal menyumbang pingat emas ketiga negara pada hari keempat Temasya Sukan Asia hari ini, terpaksa berpuas hati di tempat keempat dengan 1,298 jatuhan pin dalam acara perseorangan lelaki di Anyang Hogye Gymnasium dekat sini, Selasa. Pingat emas acara itu dimiliki Larp Apharat Yannaphon dari Thailand yang mengumpul 1,319 jatuhan pin manakala perak menjadi milik pemain China, Du Jianchao dengan 1,300 jatuhan pin dan gangsa dimenangi Kunaksorn Sithiphol dari Thailand dengan 1,299 jatuhan pin. Format baharu kejohanan itu menyaksikan tiada lagi pusingan 'step-ladder' dan pemain dibahagikan kepada dua kumpulan sama ada blok pertama atau blok kedua yang ditentukan sebelum pertandingan. Zulmazran, yang memenangi pingat perak bagi acara berpasukan pada Sukan Asia Guangzhou empat tahun lepas, berkata format baharu pertandingan kali ini ada baik dan buruknya. "Bagi saya format baharu perlawanan ada baik dan buruknya. Jika saya berjaya mengutip mata tinggi pada sebelah pagi, mungkin ia mampu menjatuhkan keyakinan pemain lain, namun saya gagal meraih mata dengan lebih tinggi," katanya kepada pemberita pada Selasa. Juara kategori Masters lelaki Kejohanan Boling kebangsaan 2014 itu berkata beliau tidak mempunyai masalah untuk menyesuaikan diri dengan keadaan 'lane', namun nasib tidak memihak kepadanya hari ini terpaksa 'berputih mata' melihat Kunaksorn memenagi gangsa setelah mendahuluinya hanya dengan satu mata. Pemain berusia 31 tahun itu berkata beliau akan memberi tumpuan kepada aksi trio dan berpasukan selepas ini kerana Malaysia lebih kuat dalam kedua-dua acara itu jika dibandingkan dengan acara perseorangan. "Kita mempunyai ramai pemain yang bagus bagi acara trio dan berpasukan dan saya lebih yakin dengan kedua acara tersebut," katanya. Zulmazran pernah menyertai tiga edisi Sukan Asia iaitu pada 2002 di Busan, Korea Selatan, 2006 di Doha, Qatar dan 2010 di Guangzhou, China. Sementara itu, Larp Apharat berkata beliau gembira memenangi emas pertamanya dalam Sukan Asia dan berasa bangga menyumbangkan pingat itu untuk Thailand.