suria

Beregu Wanita Sekadar Gangsa

Vivian Hoo/Woon Khe Wei sekadar meraih pingat gangsa.
INCHEON: Beregu wanita negara Vivian Hoo/Woon Khe Wei gagal meneruskan rentak kecemerlangan dalam acara badminton pada Sukan Asia ke-17 apabila berpuas hati dengan pingat gangsa selepas terkandas pada perlawanan separuh akhir di Gimnasium Gyeyang di sini, Jumaat.

Pasangan wakil negara itu gagal ke pentas final selepas tewas 16-21 dan 17-21 kepada beregu Jepun, Ayaka Takahashi/Misaki Matsutomo.

Mengikut peraturan pertandingan, beregu yang kalah pada saingan separuh akhir akan menerima pingat gangsa.

Tertekan untuk memburu gelaran mengundang padah apabila Hoo/Khe Wei kerap melakukan kesilapan sehingga lawannya dapat mengawal permainan.

Namun, pencapaian pingat gangsa itu merupakan satu rekod tercipta selepas 44 tahun apabila Hoo/Khe Wei menjadi beregu wanita pertama negara meraih pingat pada temasya Sukan Asia.

"Kami bermain dalam keadaan tertekan dan banyak melakukan kesilapan. Mereka (pasangan Jepun) tidak main dengan berapa baik tapi mereka dapat menangani tekanan...itu punca kita kalah," kata Hoo.

Sementara itu, wakil tunggal negara dalam acara beregu lelaki, Goh V Shem/Tan Wee Kiong mara ke separuh akhir selepas menewaskan beregu Jepun, Hiroyuki Endo/Kenichi Hayakawa 21-16 dan 21-16 pada perlawanan suku akhir.

Pasangan negara bakal berdepan dengan beregu tuan rumah Korea Selatan, Lee Yong Dae/Yoo Yeonseong pada pertemuan separuh akhir esok.

"Aksi hari ini (Jumaat) lebih baik berbanding beberapa perlawanan sebelum ini. Kita berjaya mengawal permainan serta corak bertahan dan menyerang juga berhasil," kata V Shem.

Dalam perlawanan lain, beregu Korea itu mengesahkan slot separuh akhir dengan menyingkirkan beregu Indonesia, Angga Pratama/Rian Agung Saputro 21-16 dan 21-11.

Satu lagi beregu Korea, Kim Gijung/Kim Sarang turut melangkah ke separuh akhir selepas menundukkan Takeshi Kamura/Keigo Sonoda dari Jepun dengan 21-15 dan 21-15.

Pasangan Kim Gijung/Kim Sarang akan berdepan wakil Indonesia Mohammad Ahsan/Hendra Setiawan pada perlawanan separuh akhir, selepas beregu Indonesia itu menewaskan Manu Attri/Sumeeth Reddy Buss dari India dengan 21-12 dan 21-19. 

Dalam acara perseorangan lelaki, jaguh negara Datuk Lee Chong Wei menang mudah ke atas pemain India, Kashyap Parupalli, 21-12 dan 21-11 untuk mara ke suku akhir.

Chong Wei, selaku pemain nombor satu dunia, dijangka tidak menghadapi masalah untuk menempah tiket ke separuh akhir apabila menentang pemain Vietnam, Nguyen Tien Minh.

badminton, beregu wanita, gangsa

Artikel Sebelum

Fatehah Azam Buru Kilauan Emas

Artikel Berikut

Artikel Lain