SEPANG: Pencapaian pingat perak dalam Sukan Asia ke-17 di Incheon, Korea Selatan telah menyuntik semangat pelumba trek wanita Fatehah Mustapa untuk memburu kilauan emas dalam beberapa pusingan Kejohanan trek Siri Piala Dunia, bermula November ini. Pelumba berusia 25 tahun itu bagaimanapun berkata beliau masih perlu memperbaiki beberapa kelemahan seperti aspek kayuhan untuk terus melakar kejayaan di peringkat dunia. "Tahap Piala Dunia lebih lebih tinggi berbanding Sukan Asia dan oleh itu, saya perlu bekerja keras dalam latihan," katanya kepada pemberita sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini Jumaat. Fatehah dijadual mengambil bahagian dalam Kejohanan Trek Piala Dunia di Mexico awal November ini. Untuk rekod, Fatehah meraih perak dalam acara keirin pada kejohanan siri ketiga Piala Dunia di Aguascalientes, Mexico pada Januari lepas. Fatehah merupakan satu-satunya pelumba trek wanita negara yang menyumbang pingat perak pada Sukan Asia ke-17 dalam acara keirin individu di Velodrom Antarabangsa Incheon baru-baru ini.