suria

Ironman Langkawi 2014 Dijangka Jana RM50 Juta

Para peserta Ironman Langkawi memulakan acara renang sejauh 3.8 kilometer pada kejohanan Ironman Langkawi 2014 di Langkawi, Sabtu. Para peserta harus melepasi tiga disiplin iaitu berenang, berbasikal sejauh 180 kilometer dan berlari sejauh 42.2 kilometer bagi merebut hadiah keseluruhan bernilai AS$40,000. Foto BERNAMA

LANGKAWI: Kejohanan Ironman Langkawi yang kembali diadakan di pulau peranginan ini pada tahun ini setelah kali terakhir diadakan empat tahun lepas, mampu menjadi acara yang dapat menjana pendapatan kepada Malaysia dan pengusaha industri pelancongan di sini.

"Dengan penyertaan peserta yang meningkat dua kali ganda berbanding tahun 2010, kejohanan Ironman ini dilihat mampu memberi pendapatan sehingga RM50 juta kepada Langkawi dan Malaysia," kata Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Major Events, Zulkefli Sharif.

Beliau berkata, ini ditambah dengan para peserta membawa keluarga masing-masing untuk memberi sokongan dan sekali gus berbelanja di sini dan negara ini.

"Bagi memperoleh pendapatan yang banyak ini, kita telah mohon masyarakat tempatan untuk memberi kerjasama  menjayakan kejohanan ini," katanya.

Malaysia Major Events merupakan syarikat yang diberi tanggungjawab untuk membawa kejohanan Ironman Langkawi kembali diadakan di pulau legenda ini.

Seramai 1,398 atlet dari 58 buah negara berentap untuk memburu gelaran juara pada edisi ke-12 Kejohanan Ironman Langkawi 2014 pada Sabtu, berbanding 690 orang yang mewakili 41 negara menyertai edisi ke-11 pada 2010, iaitu kali terakhir kejohanan itu diadakan.

Kejohanan itu membabitkan tiga disiplin iaitu berenang sejauh 3.8 km, berbasikal 180km dan berlari sejauh 42.2km yang menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah AS$40,000.

Seramai 40 peserta terbaik kejohanan ini akan melayakkan diri ke peringkat akhir kejohanan Ironman dunia di Kona, Hawaii tahun hadapan.

Kejohanan Ironman Malaysia Langkawi diperkenalkan pada tahun 2000 dan sejak itu menjadi acara tahunan sehingga 2010. Selepas itu ia tidak diadakan berikutan penganjur ketika itu berhadapan dengan masalah kewangan.

Artikel Sebelum

Artikel Lain