Ketua Kontinjen Datuk Daniyal Balagopal Abdullah berkata Malaysia akan mengemukakan rayuan kepada Jawatankuasa Timbang Tara Sukan (CAS) berhubung tindakan OCA kerana mendapati 'ada yang tidak kena' dalam pengendalian ujian terhadap sampel air kencing atlet itu.
Namun, kontroversi yang melanda kontinjen negara tidak menghalang atlet lain untuk terus menyumbang pingat kepada Malaysia.
Sebutir pingat emas dan tiga pingat perak dihadiahkan oleh skuad pelayaran yang menyertai acara di Wangsan Sailing Marina pada Selasa.
Turut menyumbang dua pingat perak pada Selasa ialah atlet boling negara Sin Li Jane dalam acara All Event Wanita manakala Zulmazran Zulkifli, Syafiq Ridhwan Abdul Malek, Adrian Ang, Alex Liew Kien Liang, Rafiq Ismail dan Tan Chye Chern dalam acara Lelaki Lima Berpasukan.
Skuad terjun negara menyumbang satu pingat perak dalam acara 3m papan anjal seirama lelaki menerusi Ahmad Amsyar Azman dan Ooi Tze Liang serta pingat gangsa menerusi Pandelela Rinong dan Leong Mun Yee dalam acara 10m platform seirama wanita.
Walaupun masih berbaki empat hari sebelum temasya Sukan Asia melabuhkan tirai, Daniyal tetap menaruh harapan agar kontinjen negara mampu menambah pungutan emas negara.
Beliau berkata atlet negara masih belum mahu mengalah dengan berbaki beberapa acara sukan yang tidak pernah mengecewakan kontinjen negara.
Dalam pada itu, skuad hoki lelaki negara terpaksa akur dengan kehebatan pukulan penalti 'shoot out' yang dimiliki Pakistan.
Malaysia dinafikan peluang ke perlawanan akhir selepas tewas 5-6 kepada Pakistan dalam perlawanan separuh akhir yang ditentukan menerusi 'penalty shoot out' selepas 60 minit perlawanan tamat.
Pasukan kriket lelaki juga terlepas peluang merebut slot ke separuh akhir apabila tunduk kepada Hong Kong dalam perlawanan suku akhir hari ini.