suria

Ketua Kontinjen Malaysia Masih Dibuai Mimpi

INCHEON: Ketua kontinjen negara, Datuk Daniyal Balagopal Abdullah masih enggan mengangkat 'bendera putih' sekalipun secara matematik peluang Malaysia mencapai sasaran lapan pingat emas pada temasya Sukan Asia ke-17 sudah tertutup.


Beliau masih belum mahu mengalah dan tetap menaruh harapan kepada beberapa sukan yang sedang dan akan berlangsung untuk menyumbang kilauan emas buat kontinjen negara.

Hanya tinggal tiga hari sebelum temasya sukan terbesar Asia melabuhkan tirainya, Malaysia hanya mencapai separuh sasaran pingat emas iaitu empat, 14 perak dan 10 pingat gangsa.

"Boling tetap ada peluang menerusi kategori Masters dan sukan terjun masih berlangsung. Begitu juga dengan karate yang bermula esok," katanya di sini, Rabu.

Setakat ini, kontinjen negara meraih pingat emas menerusi ratu skuasy negara Datuk Nicol David dalam acara individu dan berpasukan wanita.

Skuad pelayaran juga tidak mengecewakan apabila menyumbang satu pingat emas menerusi Mohd Faizal Norizan dan Syukri Abdul Aziz dalam acara kelas 420 lelaki semalam.

Pingat emas atlet wushu Tai Cheau Xuen yang dimenangi pada hari pertama bagaimanapun dilucutkan oleh Majlis Olimpik Asia (OCA) selepas atlet berkenaan didapati positif ujian doping.

Dalam pada itu, Daniyal tetap berbangga dengan prestasi acara berpasukan yang menunjukkan peningkatan seperti bola sepak dan hoki namun nasib tidak berpihak kepada kontinjen negara.

"Bola sepak juga bagus biarpun tewas kepada Arab Saudi. Begitu juga dengan hoki, pemain mempamerkan aksi kelas dunia cuma tiada nasib untuk menang.

"Begitu juga dengan beregu badminton wanita dan lelaki mempamerkan aksi cemerlang. Tidak terkecuali memanah dan menembak menunjukkan prestasi yang amat baik," katanya.

Menurut Daniyal, kontinjen negara terlepas sekurang-kurang lima pingat emas.

Sukan Asia, mimpi, bendera putih

Artikel Lain