PENGENDALI Chelsea, Jose Mourinho menyifatkan pasukannya kini berada di laluan terbaik untuk ke slot perlawanan kalah mati Liga Juara-juara Eropah selepas berjaya menewaskan Sporting Lisbon 1-0 pada Rabu. Berikutan kemenangan itu juga, Chelsea kini menghuni kedudukan teratas kumpulan G dengan kelebihan dua mata daripada pencabarnya. Bagaimanapun jurulatih dari Portugal itu tetap tidak berpuas hati terhadap prestasi anak buahnya yang dikatakan gagal menjaringkan lebih dari satu gol. "Kami terlepas banyak peluang, tetapi kami masih meraih tiga mata, saya tahu, kami masih yang terbaik dalam kumpulan. "Sekarang kami dibawah kawalan dalam menentukan nasib. Selepas ini kami akan melalui dua perlawanan termasuk menentang Maribor. Jika dapat empat mata, ia akan menjadi 10 mata terkumpul, oleh itu kami hanya perlu memberi fokus untuk menang dengan Maribor. "Berdasarkan peluang kali ini, kami sepatutnya menang dengan jaringan 4-0 atau 5-0 tetapi kami gagal menjadikan peluang itu sebagai jaringan," kata Mourinho. Diego Costa, Gary Cahill, Andre Schurrle, Oscar dan pemain pertukaran Mohamed Salah antara mereka yang dimaksudkan oleh Mourinho kerana melepaskan peluang yang sepatutnya untuk menghasilkan gol untuk Chelsea.