FRANCESCO Totti berjaya melakar rekod baharu sebagai pemain paling tua yang menjaringkan gol dalam Liga Juara-juara Eropah ketika membantu Roma mengikat Manchester City di Stadium Etihad pada Rabu. Rekod jaringan oleh pemain paling tua dalam saingan tersebut sebelum ini dipegang oleh penolong jurulatih Manchester United, Ryan Giggs. Totti, 38, mengatasi rekod Giggs yang berjaya menjaringkan gol pada usia 37 tahun 289 hari ketika mewakili United. Jaringan mudah Totti menewaskan Joe Hart dalam saingan kumpulan E itu merupakan gol ke-17 peribadinya bagi Liga Juara-juara Eropah. Dalam perlawanan itu, City terlebih dahulu menjaringkan gol menerusi sepakan penalti yang disempurnakan oleh Sergio Aguero. Harapan penyokong City untuk melihat pasukan terbabit bangkit memungut tiga mata menerusi kemasukan Frank Lampard bagaimanapun tidak kesampaian kerana permainan berakhir dengan keputusan 1-1. Kehadiran penyokong City juga dikritik oleh pemerhati kerana terdapat kekosongan lebih 10,000 tempat duduk manakala penonton yang hadir dianggarkan berjumlah 37,509.