DANIEL Sturridge semakin hampir melanjutkan kontraknya bersama Liverpool dengan jangka masa lebih panjang dan meraih gaji setinggi £150,000 seminggu. Sturridge, 25, yang mengalami kecederaan dan terlepas saingan Liga Juara-juara Eropah mendapat kepercayaan Liverpool apabila mempamerkan aksi memberangsangkan selama 18 bulan bersama skuad itu. Pemain terbabit kini masih mempunyak baki kontrak selama empat tahun seperti yang telah dipersetujui ketika tiba dari Chelsea dengan pembelian bernilai £12 juta. Bagaimanapun Liverpool ingin menghargai kecemerlanganya - menjaringkan 36 gol daripada 52 perlawanan - dengan kontrak baharu. Kontrak itu akan memberikan pelbagai insentif baharu kepadanya jika mampu mengekalkan aksi terbaik dan terus menyumbang gol kepada Liverpool. Perkara ini telah dibincangkan sejak hujung musim lalu, namun ia terpaksa ditangguhkan kerana saingan Piala Dunia.