suria

Badan Audit Bebas Perlu Pantau Dana Sukan - Zaki Sadri

Zaki Sadri
PETALING JAYA: Badan audit bebas perlu diwujudkan bagi memastikan penyaluran peruntukan sebanyak RM103 juta untuk pembangunan sukan negara dilaksana secara bertanggungjawab dan integriti.

Perkara itu disuarakan bekas jaguh lompat jauh dan lompat kijang negara, Zaki Sadri yang bimbang tanpa pemantauan rapi perancangan yang tersusun di atas kertas tidak akan menjadi kenyataan.

"Langkah itu bagi memastikan bajet yang disediakan kerajaan dapat disalurkan kepada atlet yang berhak sahaja, malahan bukan untuk pegawai atau pihak persatuan sukan.

"Perkara ini wajar diberi perhatian kerana dari dahulu lagi ia berlaku, terutama olahraga kerana ada yang tidak amanah, manakala atlet dan jurulatih hanya dapat saki baki peruntukan sahaja," katanya kepada mStar Online ketika dihubungi, Sabtu.

Pada Jumaat, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika membentangkan Bajet 2015 mengumumkan kerajaan akan mengambil langkah bersepadu ke arah mentransformasikan Malaysia sebagai sebuah negara bersukan dengan menyediakan peruntukkan RM103 juta khusus untuk empat projek.

Pertama untuk kesinambungan bakat sukan bermula di peringkat sekolah rendah; meningkatkan mutu sukan berprestasi tinggi untuk enam bidang sukan terpilih iaitu Bola Sepak, Berbasikal, Badminton, Sepak Takraw, Renang dan Olahraga; menyemarakkan Program FitMalaysia dan menyambut Hari Sukan Negara pada setiap Sabtu pertama November.

Pemenang lapan pingat emas Sukan Sea itu juga menganggap dana yang besar tidak akan memberi kesan jika pihak bertanggungjawab gagal melaksanakan tugas dengan berkesan.

Mengenai, Hari Sukan Negara, Zaki berpendapat ia adalah idea yang baik bagi membudayakan sukan dan gaya hidup sihat terutama sekarang rakyat negara ini ramai yang semakin ramai menghadapi masalah obesiti.

Selain itu, katanya, sukan juga sebagai jambatan perpaduan bangsa, bukannya pembaziran seperti tanggapan pihak tertentu.

"Ramai pemimpin yang lupa pentingnya sukan, jika rakyat tidak sihat dan bersatu, mana mungkin negara akan maju dan aman," katanya sambil menambah, bajet sukan adalah antara yang tinggi diperuntukkan di negara maju.



Zaki Sadri, Bajet 2015, audit, olahraga

Artikel Lain