suria

Sukan Para Asia: Jamery Siga Sasar Pingat Emas

Jamery ketika beraksi pada kejohanan Paralimpik 2012.
KUALA LUMPUR: Perenang negara, Jamery Siga berhasrat menyumbangkan sekurang-kurangnya sebutir pingat emas kepada kontinjen negara pada Sukan Para Asia di Incheon, Korea Selatan.

Kontinjen negara terdiri daripada 198 pegawai dan atlet, yang akan beraksi dalam 15 acara di temasya itu, dari 18 hingga 25 Oktober ini.

Jamery yang menyertai temasya terbesar Asia itu buat kali kedua, sebelum ini memperoleh tiga pingat perak dan dua gangsa pada kejohanan sama di Guanghzou, China.

"Kali ini saya sertai enam acara renang dan saya berharap akan peroleh pingat emas dalam acara kegemaran saya iaitu 50m kuak kupu-kupu," katanya kepada Bernama, di sini, Sabtu.

Enam acara yang akan disertai Jamery ialah 50m gaya bebas, 100m gaya bebas, 200m gaya bebas, 200m IM (individu campuran), 50m kuak lentang dan 50m kuak kupu-kupu.

Jamery berkata, beliau yakin mampu mengatasi rekod peribadinya, 39.54 saat bagi acara 50m kuak kupu-kupu sekali gus meraih pingat emas.

"Saya yakin saya boleh buat... kerana dari segi latihan, memang makin meningkat terutamanya di saat akhir ini. Harapan saya agar saya boleh buktikan kepada negara walaupun kurang upaya tapi mampu harumkan nama negara dan layak ke Sukan Paralimpik Rio 2016 di Brazil," katanya. 

Sukan Para Asia, Jamery Siga

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain