suria

Pelari Kenya Kuasai Standard Chartered KL Marathon Ke-4

Kennedy Kiproo Lilan mempertahankan kejuaraannya buat kali keempat.
KUALA LUMPUR: Pelari dari Kenya menguasai Standard Chartered KL Marathon 2014 di sini hari ini apabila mereka memenangi tiga tempat teratas masing-masing bagi kategori lelaki dan wanita.


Juara bertahan Kennedy Kiproo Lilan merangkul kejuaraan itu buat kali keempat dalam Maraton Penuh 42 km Lelaki terbuka.

Lilan mencatat masa 2 jam 17 minit 47 saat, mendahului rakan senegara Geoffrey Birgen dan Chelimo Luka Kipkemoi, masing-masing menamatkan larian dengan masa 2'17:48s dan 2'18:45s di Dataran Merdeka, di sini.

"Perlumbaan tahun ini agak mencabar bagi saya. Memenangi KL Marathon bagi kali keempat adalah pencapaian yang sangat besar buat saya. Cuaca juga baik berbanding tahun lepas. Saya membuat persediaan bagi KL Marathon selama tiga bulan.

"Keseluruhannya saya berpuas hati dengan catatan masa. Lepas ini saya akan sertai Jakarta Marathon bulan depan," kata Lilan kepada pemberita selepas acara itu.

Sementara itu, rakan senegara Mugo Hellen Wanjiku cemerlang dalam Maraton Penuh 42 km Terbuka Wanita, mengetepikan Demes Alemtsehay Mefsin dan Ruth Chemisto Matebo, kedua-duanya juga dari Kenya.

Wanjiku menamatkan maraton dengan catatan masa 2'43:22s manakala Mefsin 2'43:59s dan Matebo 2'44:32s.

Sejumlah 35,200 pelari mengambil bahagian dalam acara itu yang menawarkan hadiah wang tunai sebanyak US$116,740 (RM376,534).

Hadiah disampaikan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin. Bagi kategori Maraton Penuh Malaysia Lelaki dan Maraton Penuh Malaysia Wanita, pemenangnya ialah Muhaizar Mohamad dan Loh Choon Fern.

Berikut senarai pemenang Standard Chartered KL Marathon 2014: 

Maraton Penuh Terbuka Lelaki 

1. Kennedy Kiproo Lilan (Kenya) 2 jam 17 minit 47 saat

2. Geoffrey Birgen (Kenya) 2'17:48s 

3. Chelimo Luka Kipkemoi (Kenya) 2'18:45s 

Maraton Penuh Terbuka Wanita

1. Mugo Hellen Wanjiku (Kenya) 2'43:22s 

2. Demes Alemtsehay Mefsin (Kenya) 2'43:59s 

3. Ruth Chemisto Matebo (Kenya) 2'44:32s

Maraton Penuh Malaysia Lelaki

1. Muhaizar Mohamad 2'41.11s

2. Shaharudin Hashim 2'46.24s

3. Tan Huong Leong 2'47.23s


Maraton Penuh Malaysia Wanita
 
1. Loh Choon Fern 3'25:52s 

2. Yuan Yu Fang 3'34.27s 

3. Adele Wong Li-Peng 3:35.05s 


Artikel Sebelum

Artikel Lain