KETUA pasukan Kedah, Khairul Helmi Johari yakin kesemua rakan sepasukannya mampu beraksi secara konsisten untuk mengatasi Pahang pada perlawanan separuh akhir 1, Piala Malaysia di Stadium Darul Aman pada Ahad. Meskipun mengakui skuad Tok Gajah mempunyai kelebihan tersendiri, namun Khairul Helmi yakin pemain Kedah juga mampu mengutip bekalan selesa sebelum bertandang ke gelanggang lawan. "Walaupun tidak banyak beza antara Kedah dan Pahang yang menggunakan khidmat pemain muda, namun keupayaan rakan-rakan dalam perlawanan bertemu Kelantan baru-baru ini telah membuktikan bahawa kami juga mampu. "Pemain Kedah juga telah menunjukkan peningkatan selepas berjaya menewaskan Kelantan, walaupun pada awalnya kami ketinggalan. "Kami juga masih ingat kepedihan apabila disingkirkan oleh Pahang pada perlawanan kelayakan ke Liga Super di Stadium Hang Tuah, Melaka, menerusi sepakan penalti," katanya kepada mStar. Tambahnya, kejayaan Badrol Bakhtiar, Muhammad Hanif Mat Dzahir dan Syafiq Ahmad menjaringkan gol membuktikan skuad Helang Merah tidak mengharapkan Billy Osmat Mehmet ataupun Namkung Woong untuk menghasilkan jaringan. "Untuk diri sendiri, saya bersyukur kerana dapat meningkatkan prestasi membantu bahagian pertahanan bersama Adam Griffith. Kehadiran Shafizan Hashim serta Syazwan Tajuddin turut membentuk barisan pertahanan yang lebih baik dalam menyekat barisan serangan lawan. "Saya juga yakin kombinasi Billy, Khyril Muhymeen Zambri dan Namkung pasti mampu memecah benteng pertahanan Pahang sambil dibantu sorakan semangat penyokong," jelasnya.