KEJAYAAN menjulang Piala FA buat kali pertama selepas lapan tahun tanpa trofi pada Jun lalu masih belum cukup untuk melengkapkan koleksi kemenangan pasukan Pahang musim ini. Berikutan itu, pemain-pemain skuad Tok Gajah ingin meneruskan rentak garang mereka dengan mara ke separuh akhir Piala Malaysia buat kali kedua berturut-turut. Anak buah bekas pemenang Kasut Emas Liga Malaysia 1992, Zainal Abidin Hassan ini seolah-olah sukar untuk dihalang selepas menewaskan Polis Diraja Malaysia (PDRM) secara agregat 3-2 pada saingan suku akhir Ahad lalu. Turun sebagai juara bertahan selepas mengakhiri kemarau trofi Piala Malaysia selama 21 tahun musim lalu, kini skuad Tok Gajah pastinya mahu mempertahankan gelaran itu. Menurut Zainal Abidin, sukar untuk menjangkakan perlawanan bertemu Kedah pada Ahad ini memandangkan empat pemainnya tidak dapat beraksi. "Antaranya Dickson Dwakaeme dan Damion Steward kerana digantung perlawanan. "Bagaimana pun saya telah mengkaji dan membuat percaturan baharu dengan menggantikan posisi mereka dengan pemain tempatan. "Walaupun sedikit terkilan tanpa aksi dua pemain import ini, saya tetap yakin pemain-pemain lain boleh melakukan tugas dengan baik dan mereka telah membuktikan pada perlawanan sebelum ini. "Kami juga perlu berhati-hati dengan pasukan Kedah, memandangkan prestasi mereka melonjak naik sejak kebelakangan ini," jelasnya kepada mStar Online. Dalam masa sama, Zainal Abidin mengakui perlawanan ini penting bagi mempertahankan trofi juara berada di Pahang. "Kami akan cuba yang terbaik untuk melengkapkan lagi rekod kejayaan Pahang tahun ini selepas menjuarai Piala FA . "Momentum kejayaan sebelum ini masih lagi menguasai pemain dan saya harap mereka mampu melaksanakan tugas yang lebih baik. "Selain itu, kami mempunyai tonik terbaik sebagai pembakar semangat untuk menang dengan sokongan setia penyokong-penyokong Tok Gajah.