KUNDASANG: Peserta Kenya menguasai Perlumbaan Kembara Climbathon Antarabangsa Gunung Kinabalu edisi ke-28 terutama kategori terbuka wanita menyaksikan tiga kelompok teratas dikuasai peserta negara Afrika itu. Carolyne Jepkosgei Mitei, 30, yang menduduki tempat kedua acara maraton 21km di Indonesia semalam, mempertahankan kejuaraannya pada tahun lepas, apabila menamatkan perlumbaan sejauh 23km dengan catatan 3'07:49s iaitu enam minit lebih baik berbanding tahun lepas (3'13:12s). "Laluan amat mencabar. Tetapi ia perlumbaan yang baik dan cuaca juga baik untuk saya berlari," katanya kepada pemberita selepas menamatkan perlumbaan di sini, Ahad. Rakan senegaranya, Viola Jepchirchir Kimeli, yang merupakan naib juara tahun lalu, juga mempertahankan kemenangan di tempat kedua dengan catatan 3'18:06s, iaitu lapan minit lebih awal berbanding tahun lepas (3'26:02s). Tempat ketiga dimenangi peserta wanita negara itu, Caroline Jeruto Kegan yang mencatat masa 3'21:08s. Kenya juga memenangi kategori terbuka lelaki menerusi Collins Kipkorir Kimosop, 20, yang menyifatkan perlumbaan itu 'bersih' tetapi mencabar ketika menempuh laluan pendakian pada ketinggian 1,138.5m ke Layang-Layang Hut, di Gunung Kinabalu yang mempunyai ketinggian 4,095.2m dari aras laut. Beliau mencatat masa 2'23:33s menewaskan naib juara dari Singapura, Nimesh Gurung (2'25:44s) dan peserta Malaysia, Walter Herman menduduki tempat ketiga selepas menamatkan saingan dengan catatan 2'38:30s. Juara perlumbaan itu meraih wang tunai RM5,000 sementara tempat kedua dan ketiga, masing-masing membawa pulang RM3,000 dan RM2,000. Sementara itu, kategori veteran lelaki dinobat oleh Stephan Roger Jean Michel Bacou dari Perancis dengan catatan 2'45:08s, manakala kategori veteran wanita dirangkul oleh peserta Malaysia, Muidah Bolinting dengan masa 3'44:40s.Mereka masing-masing memenangi wang tunai RM3,000.