SEPANG: Pelumba negara, Zulfahmi Khairuddin memulakan aksi hari pertama dengan baik selepas mencatat kedudukan ke-14 pada sesi latihan bebas kedua pada Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada Jumaat. Pada sesi latihan bebas pertama sebelah pagi, pelumba Moto3 yang bernaung di bawah pasukan Ongetta-AirAsia ini berada di kedudukan ke-18 (2’16.016). ”Sesi latihan bebas pertama saya agak sukar ketika mengendalikan jentera namun saya cuba untuk menempatkan diri dalam kelompok terbaik. “Bagaimanapun sebelum sesi latihan bebas kedua, pasukan melakukan sedikit perubahan dan akhirnya saya berjaya meraih kedudukan ke-14 dengan catatan masa satu saat lebih baik daripada sebelum ini. “Keputusan ini sekaligus memberi keyakinan untuk saya meneruskan latihan bebas terakhir pada esok pagi (Sabtu),” jelasnya kepada media sebaik sahaja tamat sesi latihan bebas kedua. Dalam pada itu, pelumba berusia 23 tahun ini berkata, pasukannya ada strategi lebih baik pada menjelang perlumbaan seterusnya nanti. “Pastinya pasukan saya akan beri 200 peratus komitmen malah mereka ada strategi lebih tayar bagi memastikan segalanya lebih lancar. “Kami juga bersedia dengan keadaan cuaca yang tidak menentu, panas dan hujan, walaupun saya lebih suka beraksi di litar kering. “Seperti biasa, beraksi di litar sendiri membuatkan saya lebih tenang berdepan dengan cabaran, lebih-lebih lagi dengan adanya peminat-peminat yang hadir ke sini. “Saya berharap pada Ahad nanti lebih ramai lagi penyokong datang memenuhi litar,” katanya. Zulfahmi kini menduduki tangga ke-19 keseluruhan dengan mengumpul 19 mata selepas 16 perlumbaan. Kedudukan terbaik yang pernah dicatat musim ini ialah pada pusingan ke-6 di Litar Mugello dengan menguasai kedudukan ke-11.