suria

Atlet Paralimpik Mampu Realisasikan Pingat Emas di Rio De Janeiro

Pelari pecut paralimpik negara, Mohammad Azlan Mat Lazin menerima ciuman daripada ibu bapanya, Mat Lazin, 50 dan Rohani Abu Bakar, 49, sejurus tiba dari Incheon, Korea Selatan selepas menyertai Sukan Para Asia 2014 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, Sabtu. Mohammad Azlan memenangi tiga pingat emas dalam kejohanan tersebut. -Foto BERNAMA
SEPANG: Atlet paralimpik negara mampu merealisasikan impian pingat emas pertama negara pada Sukan Paralimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil, kata ketua kontinjen negara ke Sukan Para Asia, Datuk Abdul Jalil Abdullah.

Beliau berkata keyakinan itu berdasarkan kejayaan luar biasa atlet paralimpik negara pada Temasya Sukan Para Asia di Incheon, Korea Selatan dari 18 Okt hingga semalam, yang berjaya membawa pulang 15 pingat emas, 20 perak dan 27 gangsa.

Kejayaan tersebut adalah pencapaian tertinggi pernah diraih oleh kontinjen paralimpik negara apabila mereka berjaya mengatasi kutipan sembilan pingat emas, 13 perak dan 23 gangsa pada edisi Guangzhou, China empat tahun lepas.
 

"Jika mereka (atlet paralimpik) terus diberikan persiapan yang secukupnya saya sangat yakin bahawa tidak mustahil pingat emas pertama negara dapat direalisasikan pada Sukan Paralimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil," katanya kepada pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 1 (KLIA 1) di sini, Sabtu.

Beliau berkata walaupun atlet paralimpik mempunyai kekurangan dari segi fizikal, mereka mempunyai semangat juang yang tinggi, malah mereka lebih hebat jika dibandingkan dengan atlet normal.

"Saya dapat menyaksikan sendiri kekuatan atlet paralimpik terutama acara sukan di luar dewan apabila mereka dapat bertahan lama dan dapat mengekalkan fokus sehingga tamat perlawanan walaupun terpaksa beraksi dalam cuaca sejuk, hujan dan berangin.
 
"Saya kagum dengan mereka ... sedangkan kita yang normal tidak mampu bertahan lama dalam keadaan tersebut," kata Abdul Jalil.

Sementara itu, pengarah cawangan paralimpik MSN, Mohd Safrushahar Yusoff berkata MSN akan meneruskan program sedia ada dan mungkin akan memperkenalkan beberapa program baharu ke arah pembaikan bagi memastikan atlet paralimpik yang cemerlang di Incheon terus kekal dalam tahap terbaik.

Beliau berkata MSN juga akan berusaha memastikan atlet cemerlang di Incheon mendapat kelayakan untuk beraksi di Brazil bagi merealisasikan impian pingat emas pertama negara di Sukan Paralimpik 2016 di Rio de Janeiro nanti.

paralimpik, Sukan Asia, Sukan Olimpik

Artikel Lain