KUALA LUMPUR: Debaran saingan akhir sukan seni mempertahankan diri campuran (MMA) tempatan semakin kencang. Beberapa jam sahaja lagi 14 peserta akan bertarung bagi membuktikan kehebatan masing-masing di Stadium Negara. Peserta dalam dan luar negara itu berjaya melayakkan diri ke perlawanan akhir Malaysian Invasion Mixed Martial Arts musim kedua (MIMMA 2) musim kedua yang menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM150,000. Acara ini turut disertai sembilan wakil tempatan, manakala empat lagi dari Amerika Syarikat, Itali, United Kingdom dan Perancis yang akan bersaing dalam tujuh kategori yang dipertandingkan, selain empat lagi pertarungan bersifat pertunjukkan khusus untuk penggemar sukan seni mempertahankan diri. Bagaimanapun, seorang lagi peserta tempatan, Muhammad Aiman berhadapan situasi mencabar apabila terpaksa menurunkan berat badannya sebanyak 2.2 kilogram dalam tempoh tiga jam bagi melayakkan diri ke saingan akhir kategori flyweight . Agak malang Muhammad Aiman gagal menurunkan berat badan dalam tempoh yang ditetapkan, tempat beliau digantikan dengan Seah Zhang Yu yang akan berlawan menentang juara bertahan Kenny Yap bagi kategori flyweight. Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Tune Talk, Jason Lo, MIMMA adalah medan untuk melahirkan lebih ramai atlet negara yang berpotensi untuk menyerlah di peringkat antarabangsa dalam MMA. "Terdapat pelbagai jenis sukan seni mempertahankan diri di negara kita seperti silat, taekwando dan karate. Namun kita tidak ada platform yang dapat menggabungkan beberapa jenis sukan seni mempertahankan diri, jadi dengan penganjuran MIMMA ini dapat memberi ruang kepada usaha untuk melahirkan bakat-bakat baharu dalam MMA. "MIMMA musim kedua ini cukup istimewa apabila buat kali pertama seorang wanita rakyat Malaysia, Foo Zhen Wei layak ke perlawanan akhir bagi kategori pro female flyweight'," katanya kepada mStar Online ketika ditemui pada sesi mengumumkan peserta yang layak ke saingan akhir MIMMA 2 di Hotel Swiss Garden pada Jumaat. Matt Pelino (kanan) bersama dengan lawannya, Will Chope bagi kategori terbuka. Jason berkata, MIMMA turut menggabungkan beberapa jenis sukan seni mempertahankan diri seperti judo, juditso, tinju dan muay thai. "Saya jangka lebih 5,000 penonton akan hadir dan pertandingan akhir MIMMA dapat ditonton secara langsung melalui [email protected]," katanya. Sementara itu, peserta bagi kategori light weight Mohd Hasrul Abdul Rashid yang merupakan seorang anggota polis tidak sabar untuk turun ke gelanggang esok. "Sudah pasti saya ingin menang selepas beberapa tahun berlatih. Saya berharap dengan sokongan rakan-rakan polis. "Ini kali kedua saya menyertai MIMMA, saya lihat ia mempunyai platform untuk mengetengahkan bakat baru dalam sukan seni mempertahankan diri," katanya. Sementara itu, peserta Amerika Syarikat, Matt Pelino berkata, dia menyertai MIMMA kerana ia merupakan salah satu kejohanan terbesar di rantau Asia Tenggara. "Saya memang sukakan pertandingan, kerana ia menguji sejauh mana kemampuan dan kemahiran yang kita miliki. Sudah pasti saya akan memberikan persembahan terbaik dan tewaskan lawan saya, Will Chope untuk kategori terbuka (tiada had berat badan). "Will merupakan seorang veteran UFC (Ultimate Fighting Championship) dan berpengalaman bertarung sebanyak 27 kali. Saya sangat berharap dapat tewaskan dia," katanya. Bagi peserta wanita tunggal dari Malaysia, Zhen Wei pula, dia sangat teruja untuk turun ke gelanggang esok. "Saya tidak sabar untuk bertarung dengan Brit Rachael Short esok. Saya telah berlatih sejak tiga tahun lalu. Tekanan sedikit tinggi bagi peserta wanita kerana ketika latihan juga kami perlu bersaing dengan peserta lelaki. "Namun ini tidak perlu dijadikan alasan, jika anda berlatih dengan peserta yang lebih kuat sudah pasti anda akan mendapat pengalaman yang baharu," katanya yang bekerja sebagai pegawai perhubungan awam. Darren Low, peserta bagi kategori heavy weight berharap dapat memberikan persembahan terbaik. "Saya berlatih dengan gigih sejak beberapa tahun kebelakangan ini, saya turut berlatih di Phuket, Thailand selama dua bulan. "Saya menyertai MIMMA untuk mempersembahkan kemahiran saya dalam seni sukan mempertahankan diri. Ini peluang saya untuk memajukan diri dalam beberapa disiplin sukan seni mempertahankan diri seperti judo, juditso dan muay thai," katanya yang berasal dari Kota Kinabalu, Sabah. MIMMA akan disiarkan secara langsung di laman web [email protected] bermula pada pukul 8 malam Sabtu. Pada pusingan awal MIMMA menerima sambutan yang cukup menggalakkan, dengan lebih 400 peserta menyertainya sejak awal tahun ini. Idea MIMMA telah dicetuskan oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin bersama-sama dengan Jason sendiri. Ia bertujuan bagi mempromosikan sukan MMA di Malaysia.