SEPANG: Pelumba Moto3 negara, Zulfahmi Khairuddin menamatkan saingan pusingan kelayakan di tempat ke-22 pada aksi Grand Prix Motosikal Malaysia (MotoGP) yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Sabtu. Pelumba Ongetta-AirAsia itu mencatat masa 2’15.498 terpaksa akur dengan kedudukan ini menjelang perlumbaan pada Ahad biarpun mencatat kedudukan terbaik pada sesi Latihan Bebas 3 (FP3) pada sebelah pagi ini. Pada aksi FP3, Zulfahmi merekodkan keputusan cemerlang dengan berada di tempat ke-11 dengan catatan masa 2’13.918s. Sementara itu, seorang lagi pelumba negara yang pertama kali menyertai aksi semusim penuh tahun ini, Hafiq Azmi (SIC-Ajo) berada di tempat ke-16 dengan catatan masa 2’14.413. Catatan lebih baik berbanding aksi FP3 sebelum itu yang menamatkan saingan di kedudukan ke-23. Dalam pada itu, pelumba Red Bull KTM Ajo, Jack Miller mencatat masa terpantas pusingan kelayakan ini sekaligus menempah petak pertama perlumbaan esok. Juara GP Australia minggu lalu itu yang turut menguasai FP1 pada Jumaat merekodkan masa 2'13.77 meninggalkan pelumba SaxoPrint-RTG Efran Vazquez di petak kedua manakala Jakub Kornfeil (Calvo Team) di tempat ketiga. Alex Marquez (Estrella Galicia O,O), menguasai petak kelima diikuti, Romano Fenati (SKY Racing Team VR46), Danny Kent (Red Bull Husqvarma Ajo), Isaac Vinales (Calvo Team), Miguel Oliveira (Mahindra Racing) dan tempat kesepuluh, Enea Bastianini (Junior Team GO&FUN Moto3).