suria

MIMMA2: Zhang Yu Rampas Gelaran Juara Flyweight

Kenny dan Zhang Yu beraksi untuk merebut gelaran juara flyweight.

KUALA LUMPUR: Walaupun hanya disahkan layak menyertai pertandingan akhir Malaysian Invasion Mixed Martial Arts musim kedua (MIMMA2) dalam tempoh kurang 24 jam, tuah ternyata menyebelahi peserta Pulau Pinang, Seah Zhang Yu apabila berjaya merampas gelaran juara kategori flyweight.

Peserta muda berusia 18 tahun itu tidak mengambil masa lama untuk menewaskan wakil Terengganu, Kenny Yap yang juga bekas juara bagi kategori tersebut sebelum ini.

Penyertaan Seah pada saat akhir adalah bagi menggantikan Muhammad Aiman dari Negeri Sembilan yang tidak layak selepas gagal ujian berat badan untuk kategori flyweight.

Selain itu penonton yang memenuhi Stadium Negara pada Sabtu malam turut disajikan dengan aksi hebat daripada wakil Selangor, Muhammad Hasnul.

Hasnul yang juga anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengungguli kategori Lightweight selepas menundukkan lawannya, Richie Ismail dari Sabah dalam masa 2 minit 36 saat.



Bagi kategori middleweight, Jing Yi dari Johor hanya mengambil masa selama 36 saat untuk menewaskan lawannya dari Sarawak, Stephen untuk mengekalkan kejuaraannya pada musim lalu.

Sementara itu juara musim lalu bagi kategori Bantamweight, Prabu Somanaidu dari Selangor tetap unggul apabila berjaya mengekalkan kemenangannya ketika menentang rakan senegerinya, Jenarten.

Bagaimanapun Prabu yang menerima tentangan hebat daripada lawannya hanya berjaya dinobatkan sebagai pemenang dalam aksi pada pusingan kedua.

Bagi kategori featherweight, Keanu Subba dari Kuala Lumpur  mengekalkan kejuaraannya pada musim lalu dengan menewaskan Joshua Khiew dari Pulau Pinang.

Manakala bagi kategori heavyweight, Darren Solomon (Sabah) berjaya menundukkan wakil Selangor, Muhammad Zulhanizam.



Bagi Ooi Aik Tong dari Pulau Pinang, beliau terpaksa akur dengan kehebatan Agilan Thani (Selangor) apabila berjaya merampas gelaran juara untuk kategori welterweight (gambar bawah).



Selain itu MIMMA2 turut menyajikan persembahan menarik apabila buat  pertama kali seorang wanita rakyat Malaysia, Foo Zhen Wei layak ke perlawanan akhir bagi kategori pro female flyweight.

Lebih membanggakan apabila Foo yang menggunakan gelaran 'Iron Rose' berjaya menewaskan pencabarnya, Rachael Short dari United Kingdom (gambar bawah).


Selain itu penonton turut berpeluang menyaksikan aksi peserta profesional peringkat antarabangsa yang turut membuat persembahan.

Beraksi dalam kategori pro open weight, Matt Pellino dari Amerika Syarikat berjaya mengalahkan saingan senegaranya, Will Chope.

Sementara itu bagi kategori pro bantamweight, Mark Striegl dari Filipina mempamerkan aksi menarik ketika menewaskan wakil New Zealand, Kaiwhare Kara-France menerusi teknik rear naked choke.

Bagi kategori pro lightweight pula, Lenne Wheeler dari Kanada menewaskan Massimo Capusella dari Italy.

Pertandingan akhir MIMMA2 turut dihadiri oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin dan Ketua Pegawai Eksekutif Tune Talk, Jason Lo (gambar bawah).



Idea penganjuran MIMMA dicetuskan secara bersama oleh Khairy dan Jason.

Ia bertujuan bagi mempromosikan sukan seni mempertahankan diri campuran (MMA) di Malaysia.



MIMMA2, Tune Talk

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain