APAKAH pemilik kelab bolasepak Liga Perdana Inggeris, Queens Park Rangers (QPR), Tan Sri Tony Fernandes sudah merajuk? Pada Ahad Fernandes memberi indikasi yang beliau akan meninggalkan kelab tersebut jika itulah yang diinginkan oleh para peminat, sambil menegaskan 'pemimpin yang baik tahu bila perlu berundur." Dengan QPR kini berada di tangga terbawah sekali di kalangan 20 buah kelab Liga Perdana Inggeris, Fernandes bergelut sepanjang tempoh setahun ini melawan 'api' yang semakin membara yang membakar tangan dan wang sakunya. Tahun lepas mereka bermain di liga kejuaraan (Divisyen Satu) selepas tersingkir dari liga perdana pada musim sebelumnya. Bagaimanapun QPR di bawah bimbingan jurulatih veteran, Harry Redknapp, berjaya kembali ke Liga Perdana hanya untuk berhadapan dengan satu lagi musim yang sukar dan akan sekali lagi tersingkir ke liga bawah jika mereka tidak kembali bersaing dan memenangi perlawanan. Selepas mengharungi lapan perlawanan musim ini, QPR hanya sekadar mengutip empat mata dengan menang satu perlawanan dan seri satu. Pada jam 4 pagi Selasa waktu Malaysia, mereka akan bertemu Aston Villa yang kini berada lima tangga di atas mereka. Tidak cukup dengan masalah prestasi permainan yang tidak memberansangkan, Fernandes juga terpaksa berhadapan dengan isu pertelingkahan di antara Redknapp dengan pemain tengah mereka dari Maghribi, Adel Taarabt. Fernandes, yang kini terlibat dalam satu lagi pertikaian di antara kumpulannya dengan konsortium yang membeli kepentingannya dalam pasukan F1 Caterham Julai lalu berkata; “Pada saat para peminat QPR mahu saya meninggalkan kelab ini kerana keputusan-keputusan yang tidak memberansangkan yang telah saya ambil sebagai pengerusi dan pemilik, maka saya akan pergi. Noktah." Beliau seterusnya berkata yang prinsipnya ialah untuk berdiri teguh di belakang pengurus dan pemain-pemainnya dan mengelak bermain politik. Semua pemain, kata Fernandes perlu bersatu sebagai sebuah pasukan dan inilah yang mereka tunjukkan dalam perlawanan menentang Liverpool minggu lalu. “Tetapi seorang pemimpin yang baik tahu bilakah masa untuk dia berundur. Sama sepertimana ketika saya membuat keputusan untuk meninggalkan pasukan F1 Caterham. Saya sayang QPR dan AirAsia tetapi akan tiba masanya para peminat dan kakitangan yang akan menentukan bilakah kita patut berundur,” ujarnya lagi dalam laman sosial Twitter.