PEMAIN bola sepak Afrika Selatan Senzo Meyiwa mati selepas ditembak pada Ahad, kata polis Afrika Selatan dalam satu kenyataan tanpa memberi sebarang maklumat lanjut. Menurut kenyataan polis, penjaga gol Orlando Pirates itu ditembak selepas dua lelaki memasuki sebuah rumah di Vosloorus, sebuah bandar berdekatan Johannesburg yang dikunjunginya sekitar pukul 8 malam waktu tempatan manakala seorang lagi lelaki berada di luar. Ketiga-tiga mereka melarikan diri setelah Meyiwa ditembak tetapi individu lain yang berada di rumah itu pada waktu itu tidak cedera. Media tempatan berkata, ia adalah cubaan pecah rumah tetapi perkara itu tidak disahkan oleh polis. "Kami boleh mengesahkan bahawa penjaga gol Pirates Senzo Meyiwa telah ditembak dan disahkan meninggal dunia ketika tiba di hospital," kata Twitter rasmi Perkhidmatan Polis Afrika. "Kita harus memberi penekanan terhadapprotokol...Kami tahu ada orang yang marah dan sakit hati di rumah di mana kejadian berlaku dan di hospital. Tolong bertenang," ia kemudian menambah. "Kami boleh memberi jaminan kepada semua warga Afrika Selatan bahawa kami akan melakukan semua yang kita boleh untuk membawa pembunuh Meyiwa ke muka pengadilan," kata polis dalam Twiiter seterusnya. Meyiwa yang berusia 27 tahun menjadi kapten pasukan bola sepak Afrika Selatan bagi empat perlawanan terakhir dalam kelayakan Piala Negara-Negara Afrika. Dia bermain pada Sabtu di mana kelabnya mara ke peringkat separuh akhir Piala Liga Afrika Selatan. Kematian Meyiwa ini berlaku selepas seorang lagi ahli sukan Afrika Selatan yang terkenal, bekas juara 800 meter dunia Mbulaeni Mulaudzi, meninggal dunia dalam kemalangan kereta pada Jumaat.