KUALA LUMPUR: Pencapaian pelumba-pelumba tempatan mengecewakan, namun dari segi penganjuran secara kesluruhan amat baik dan berjalan lancar, jelas Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Datuk Razlan Ahmad Razali mengenai Grand Prix Malaysia (MotoGP) yang berakhir pada Ahad. Menurut Razlan sebagai peminat permotoran tidak ada apa yang perlu dijelaskan mengenai persembahan pelumba-pelumba negara walaupun salah seorang daripada mereka Amirul Hafiq Azmi berjaya meraih kedudukan ke-13 sekaligus meraih tiga mata pertama musim ini. “Sudah terlambat untuk mereka semua bangkit. Perlumbaan hanya tinggal satu sahaja lagi (di Valencia). Bagaimanapun ia satu perlumbaan yang baik dan berguna buat Amirul. “Namun sebagai peminat perlumbaan saya sedikit kecewa. Tidak ada apa lagi yang boleh diungkit, kita cuba perlu melihat pada perlumbaan tahun hadapan,” jelasnya kepada media. Razlan berkata, sebenarnya harapan tinggi diletakkan kepada Amirul memandangkan dia seorang pelumba berpengalaman berbanding dengan yang lain. “Jika imbas kembali, sebelum beraksi pada kejuaraan dunia, Amirul berpengalaman dua tahun bersama Red Bull Rookie, setahun dalam aksi Kejuaraan Motosikal CEV Respol dan empat hingga lima pusingan pada MotoGP 2013. “Sebab itulah kita berani mempertaruhkan aksinya dalam aksi kejuaraan dunia, namun sedikit kecewa. “Mengenai nasibnya musim depan, seperti yang dibincangkan, kontraknya bersama SIC-Ajo tidak disambung dan saya berharap ada penaja atau pasukan yang akan mengambilnya mungkin untuk aksi superbike dunia. “Kita akan cuba membantunya sebaik mungkin dan saya tidak mahu disebabkan situasi ini ia akan menjadi sentimental dan beremosi. Realitinya perkara sebegini bukan sahaja berlaku di Malaysia malah di Eropah mana-mana pelumba yang tidak memberangsangkan akan dipecat walaupun musim perlumbaan sedang berlangsung.“ "Melainkan pelumba itu membawa duit kepada pasukan, tetapi situasi berbeza kerana kita melabur untuk meningkatkan pelumba negara dan, dan apa sahaja keputusan kita perlu fikir masak-masak, lagi-lagi musim depan kita ada pasukan sendiri,” jelasnya panjang lebar mengenai masa depan Amirul. Sementara itu, Razlan berkata, beliau berpuas hati dengan kehadiran penonton sepanjang tiga hari aksi GP Malaysia. “Cuma sedikit terkejut dengan jumlah kehadiran pada Ahad sedikit merosot berbanding tahun lalu. Tahun ini kita kekurangan lebih kurang 2,554 (81,696) manakala tahun lalu mencatat 84,250 penonton. “Pun begitu saya gembira kehadiran pada hari Sabtu yang mencapai 40,820 berbanding 34,322 tahun lalu kerana peminat-peminat hadir untuk melihat aksi Piala Bakat Asia. “Jika sebelum ini sukar melihat mereka hadir lebih awal sebelum perlumbaan Moto3, namun sebaliknya berlaku tahun ini. “Tidak dinafikan aksi Piala Bakat Asia memang menarik dan kami sudah berbincang dengan Jepun program ini perlu diteruskan. “Bagi saya ia satu program penting bagi pelumba-pelumba berbakat dan kita sudah nampak dua hingga tiga orang pelumba yang boleh pergi lebih jauh,” katanya.