NEWCASTLE: Pemain Sepanyol, Ayoze Perez Gutierrez yang hadir selaku pemain gantian muncul wira pasukan membantu Newcastle United menewaskan Liverpool 1-0 dalam saingan Liga Perdana Inggeris, yang berlangsung di St James Park pada malam Sabtu. Gol itu menyusul pada minit ke-73 untuk melonjakkan pasukan Magpies ke kedudukan lebih baik dalam carta liga. Namun, lebih mengecewakan penyerang Liverpool, Mario Balotelli yang gagal menjaringkan gol biarpun Reds menguasai perlawanan sebelum Perez meledak jaringan pada minit ke-73 berikutan pertahanan pasukan pelawat yang agak longgar. Keputusan tersebut membolehkan Newcastle meraih empat kemenangan berturut-turut musim ini termasuk menewaskan Manchester City dalam aksi Piala Liga baru-baru ini. Tiga mata yang diraih skuad bimbingan Alan Pardew itu membolehkan Newcastle menduduki tempat kesembilan liga ketika ini. Pengurus Liverpool, Brendan Rodgers berkata, kesilapan yang dilakukan pasukannya telah dihukum dengan kekalahan tersebut. Bagaimanapun Rodgers tidak menyalahkan mana-mana pemainnya biarpun dapat dilihat Balotelli gagal memanfaatkan peluang menjaringkan gol sewaktu separuh masa kedua. “Kekalahan ini bukan disebabkan oleh Balotelli kerana kami bermain sebagai satu pasukan dan ini lebih berkaitan tentang pasukan, bukannya terarah kepada mana-mana pemain. “Kesilapan yang kami lakukan telah menjejaskan keputusan pada perlawanan ini,” kata Rodgers.