suria

Cub Prix: Zaqwan, Izzat Juara Keseluruhan CP130 Dan CP115

PETALING JAYA: Pemburuan gelaran juara keseluruhan Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS musim 2014 berakhir lebih awal apabila ketiga-tiga kategori, CP130, CP115 dan Wira sudahpun diketahui pemiliknya sebaik pusingan kesembilan kejuaraan berakhir di Jempol, Negeri Sembilan pada petang Ahad.

Masih berbaki satu pusingan yang akan berlangsung di Kedah, hujung November ini, Mohd Zaqhwan Zaidi yang menjuarai lima pusingan perlumbaan pada musim ini telahpun dinobatkan selaku juara keseluruhan sebaik berjaya menamatkan perlumbaan akhir di tangga ketiga dengan masa 14'46.782s.

Dengan 16 mata kejuaraan yang dipungut, pelumba Givi Honda Yuzy Racing tidak mampu dicabar oleh mana-mana pelumba lagi setelah mengumpul 161 mata keseluruhan, 30 mata mendahului Ahmad Afif Amran (PETRONAS Yamaha-CKJ) yang muncul naib juara dengan masa 14'45.911s. Rakan sepasukan Afif, Mohd Affendi Rosli muncul juara setelah menamatkan 18 pusingan perlumbaan dengan masa 14'44.125s.

"Sukar untuk diluahkan dengan kata-kata mengenai kejayaan hari ini. Kemenangan ini amat dinanti-nantikan sejak beberapa tahun lepas lagi dan akhirnya ia terlaksana," jelas anak didik bekas pelumba MotoGP negara, Shahrol Yuzy Ahmad Zaini itu.

Mengulas lanjut, Zaqhwan berkata, "Saya berterima kasih kepada pengurus, Shahrol Yuzy dan juga seluruh pasukan kerana telah bekerja keras selama beberapa tahun ini dan akhirnya ia membuahkan hasil. Begitu juga dengan keluarga yang sentiasa memberikan sokongan kepada saya selama ini dan juga penyokong, penaja-penaja serta semua yang banyak membantu saya untuk bergelar juara CP130."

Bercakap tentang perancangan selepas ini, Zaqhwan berkata, "Saya tidak membuat sebarang perancangan lagi kerana semuanya bergantung kepada pasukan. Tumpuan utama saya adalah untuk menamatkan baki saingan musim ini terlebih dahulu khususnya di Kejuaraan Motosikal Asia PETRONAS (ARRC) yang akan berlangsung di Thailand dan Qatar selepas ini."

Persaingan kini terarah kepada pemburuan tangga kedua dan ketiga keseluruhan diantara Afif yang kini berada di tangga kedua dengan 131 mata manakala Norizman Ismail (Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing) dan Affendi masing-masing terikat dengan 121 mata.

Sementara itu, gelaran juara dalam saingan CP115 di Jempol telah menobatkan Mohd Izzat Zaidi Salehan (Motul Yamaha YY Pang) sebagai juara keseluruhan kategori tersebut setelah mengumpul 178 mata keseluruhan, 30 mata mendahului rakan sepasukan, Zaidy Mohd Zaifaizal yang mengumpul 148 mata setelah sekadar menamatkan saingan di tempat kelapan. 

Izzat menamatkan 15 pusingan perlumbaan dengan masa 12'30.085s mengatasi Elly Idzlianizar Ilias (M Seki Liberty Honda) di kedudukan kedua dengan masa 12'31.023s. Pelumba PETRONAS Yamaha Maju Motor, Abd Muhaimin Roslan di tempat ketiga dengan masa 12'33.743s.

"Saya sama sekali tidak menyangka akan bergelar juara keseluruhan di sini. Memang saya meletakkan sasaran untuk memenangi perlumbaan di Jempol, namun saya menjangkakan Zaidy akan kekal memberikan cabaran sepertimana pada pusingan-pusingan lepas sebaliknya dia gagal mempamer prestasi sebenar dan sekadar berada di tempat kelapan.

Menurutnya lagi, "Saya sangat gembira dan menghadiahkan kejayaan tersebut kepada seluruh pasukan, keluarga, penaja, rakan-rakan dan semua yang telah membantu saya selama ini. Meskipun sudah bergelar juara, saya tetap akan memberikan aksi terbaik pada pusingan akan datang dan hanya menentukan hala tuju pada musim hadapan di tangan pengurusan pasukan," jelas Izzat.

Rakan sepasukanIzzat, Tengku Amirul Haffirudin menghuni tangga ketiga keseluruhan ketika ini dengan 121 mata.

Dalam kategori Wira, Khairul Idham Pawi (Kozi Yam Honda Racing) yang telahpun ditabalkan sebagai juara keseluruhan pada pusingan lepas di Kangar, Perlis terus mendominasi saingan dengan meraih gelaran kelapan daripada sembilan pusingan yang telah berlangsung.

Khairul menamatkan 12 pusingan perlumbaan dengan masa 10'01.312s mengatasi Mohd Fairuz Nasir (Felda Pbafb Tech Racing) yang menamatkan saingan dengan masa 10'12.012s, juga gelaran naib juara buat kali ketiga berturut-turut pada musim ini. Mohd Afiki Supaat (Jetron Apido Team PJM) di tempat ketiga dengan masa 10'12.175s.

Khairul terus melebarkan jurang pungutan mata dengan mengumpul 216 mata manakala Afiki di tangga kedua dengan 108 mata dan Fairuz di tangga ketiga dengan 94 mata.

cub prix, Mohd Zaqhwan Zaidi

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain