suria

Tiada Penyelewengan Kos Selenggara Rumput Padang Stadium Bukit Jalil

Keadaan padang bola sepak Stadium Nasional Bukit Jalil pada perlawanan final Piala Malaysia, Sabtu lalu.
PETALING JAYA: Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin  menegaskan bahawa tidak berlaku sebarang penyelewengan kos dalam penyediaan padang Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).


Khairy berkata, pengubahsuaian dan penyelenggaraan stadium termasuk penanaman semula rumput dibuat secara tender terbuka.

"Kita akan tengok keadaan padang di stadium itu menjelang beberapa perlawanan dalam masa terdekat dan jika perlu kita akan lihat apa pilihan yang boleh diambil untuk memperbaiki mutu padang itu.

"Saya sudah berjumpa Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) untuk membincangkan hal ini. Masalah struktur permukaan padang itu sendiri yang tidak mudah diatasi," katanya selepas merasmikan pusat kecergasan WiO dan Zac & Zibbo Your Family Wellness Centre di Citta Mall, di sini, pada Selasa.

Pada tahun lepas, Khairy telah mengarahkan Stadium Nasional ditutup selepas aduan bahawa keadaan padang di stadium berkenaan tidak sesuai sehingga memaksa perlawanan persahabatan antara Barcelona FC dan Malaysia ditukar ke Stadium Shah Alam pada saat-saat akhir.

Penukaran rumput di stadium itu sebelum ini telah menelan belanja sebanyak RM1.5 juta dan kementeriannya telah mencuba dua jenis rumput iaitu rumput jenis Cow Grass and Bermuda Green Mountain.

Sementara itu, pakar rumput tempatan Normas Yakin Md Arrifin mencadangkan agar PSM menggunakan rumput jenis 'Zoysia Matrella' atau lebih dikenali dengan nama 'Manila Grass' yang dilihat lebih rendah kos penyelenggaraannya.

Katanya rumput yang digunakan kini bukan sahaja memerlukan penjagaan yang teliti malahan kos penyelenggaraan yang tinggi terpaksa ditanggung sekiranya PSM masih mahu menggunakan jenis rumput itu.

"Penjagaan yang teliti harus dilakukan sekiranya mahu mengekalkan rumput jenis itu, jadi sudah pasti akan melibatkan jumlah perbelanjaan yang besar," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Artikel Sebelum

Keputusan Liga Juara-Juara

Artikel Lain