JUARA Formula 1 2009, Jenson Button dijangka akan mengumumkan persaraannya pada GP Abu Dhabi, 23 November ini - sekaligus menamatkan karier 15 tahun yang penuh dengan warna-warni. Portal berita Britain, The Mail online melaporkan, pasukan McLaren disebut-sebut akan membawa masuk juara dunia dua kali Fernando Alonso untuk mengantikan pelumba Briton itu tetapi ia telah dinafikan oleh Alonso sendiri dalam satu kenyataan di Mexico. Button, 34, dikatakan berasa kecewa kerana McLaren akan membawa masuk pemandu baru bukan untuk mengantikan seorang lagi pelumba pasukan itu, Kevin Magnussen sebaliknya adalah untuk mengantikan tempatnya. Ketua pasukan McLaren, Eric Boullier percaya Magnussen, 22, boleh dididik menjadi juara dunia masa depan dan Alonso adalah pilihan yang jauh lebih baik daripada Button bagi mencapai misi tersebut. Button, yang kini berada di Sao Paulo, Brazil untuk perlumbaan GP Brazil hujung minggu ini menegaskan jika dia terpaksa meninggalkan McLaren, dia tidak akan memilih pasukan yang jauh lebih rendah dari segi kemampuan dan keupayaan jentera. Sepanjang 15 tahun pembabitannya dalam F1, Button telah memenangi 15 perlumbaan daripada 264 GP termasuk muncul sebagai juara dunia pada tahun 2009. Tetapi kejayaannya yang pertama hanya muncul dalam perlumbaan yang ke-113 di GP Hungary pada 2006 sebelum bergelar juara dunia bersama pasukan baru Brawn pada 2009. Button kemudiannya berpindah ke McLaren. Dia kini sedang menimbang untuk menyertai rakannya, bekas pemandu Red Bull, Mark Webber dalam kejohanan kereta sports dan Kejohanan Endurance Dunia. McLaren dikatakan telah pun memulakan rundingan dengan Alonso, tetapi ia dinafikan oleh pemandu Sepanyol itu. Alonso sudah pun membuat kenyataan yang dia tidak lagi akan memandu untuk Ferrari musim depan manakala Sebastian Vettel pula mengumumkan yang dia akan memandu untuk Ferrari. SEJARAH KARIER F1 JENSON BUTTON: 2000 Williams (Tempat ke-8) 2001 Bennetton Renault (17) 2002 Renault (7) 2003 Honda (9) 2004 Honda (3, 10 podium) 2005 Honda (9, 2 podium) 2006 Honda (6, 1 menang, 3 podium) 2007 Honda (15) 2008 Honda (18) 2009 Brawn (1, 6 menang, 9 podium) 2010 McLaren (5th, 2 menang 7 podium) 2011 McLaren (2, 3 menang, 12 podium) 2012 McLaren (5, 3 menang, 6 podium) 2013 McLaren (9)