PUTRAJAYA: Keputusan ujian sample B Datuk Lee Chong Wei yang positif dadah tidak seharusnya dibandingkan dengan kes membabitkan atlet antarabangsa lain seperti Ben Johnson atau Lance Armstrong. Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata, hal itu kerana bahan terlarang yang dikesan dalam air kencing pemain badminton nombor satu dunia itu adalah steroid yang digunakan semasa proses pemulihan atlet. "Ingin saya tekankan di sini, bahan yang ditemui itu bukannya dadah untuk meningkatkan prestasi atlet. Ia sepatutnya tidak memberi kesan kepada persepsi umum terhadap badminton di Malaysia. Ianya bukan Ben Johnson atau Lance Armstrong," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Forum Genexter di sini, Sabtu. Sambil menganggap ia kes terpencil dan tidak bernasib baik bagi atlet berkenaan, Khairy berkata: "Kami akan pastikan dapat kemukakan kes terbaik." Beliau juga memaklumkan setakat ini masih belum berpeluang untuk bercakap dengan Chong Wei. Ketika ini, sidang media berhubung perkara itu diadakan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) selepas ujian B turut mendapati pemain perseorangan utama negara itu positif dadah jenis dexamethasone. Berikutan itu, Chong Wei berdepan penggantungan maksimum dua tahun daripada menyertai sebarang kejohanan, bagaimanapun Persekutuan Badminton Dunia (BWF) boleh mempertimbangkan untuk mengurangkan hukuman berdasarkan beberapa faktor termasuk pencapaian dan tingkah laku sepanjang kerjaya atlet berkenaan. Pada Olimpik 1988, pingat emas yang diperoleh atlet 100 meter Ben Johnson ditarik balik selepas didapati positif menggunakan steroid anabolik, manakala pelumba basikal Amstrong pula didapati menggunakan EPO dan steroid selain pemindahan darah untuk meningkatkan prestasi.