suria

Liga Sepak Takraw Mampu Lahir Ramai Pemain Pelapis - Khairy

PUTRAJAYA: Usaha Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) memperkenalkan Liga Sepak Takraw (STL) mampu melahirkan lebih ramai pemain pelapis berbakat dalam sukan berkenaan, kata Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin.

Beliau yang memuji inisiatif baharu PSM itu turut yakin liga amatur berkenaan yang julung kali diperkenalkan, akan mempopularkan sukan sepak takraw bukan sahaja di benua Asia, malah di peringkat dunia.

"Bagi saya, ini merupakan satu langkah yang positif sekali dan bakal meningkatkan lagi tahap profesionalisme takraw Malaysia dan juga pemain-pemain tempatan.

"Pelancaran liga ini akan disusuli dengan satu program pembangunan sepak takraw yang akan dibuat bersama antara KBS dan PSM....Macam yang kita buat terhadap bola sepak (sebelum ini) akan dibuat ke atas sepak takraw namun pendekatannya mungkin berbeza kerana keperluan kedua-dua sukan ini tidak sama," kata Khairy.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan liga berkenaan pada majlis yang turut dihadiri Presiden PSM Datuk Ahmad Ismail dan kepimpinan tertinggi PSM di sini petang tadi.

Sementara itu, Ahmad berkata liga berkenaan yang bermula minggu depan hanya terbuka kepada pemain amatur berusia 18 tahun ke atas yang tidak pernah beraksi dalam mana-mana kelab profesional tempatan mahupun luar negara.

Beliau menjelaskan, penggunaan seorang pemain import asing untuk setiap regu bertanding hanya akan dilaksanakan pada tahun depan.

"Kita tidak mahu melambakkan pemain import untuk memastikan pembangunan sepak takraw bagi melahirkan lebih ramai pemain tempatan tidak terjejas," kata Ahmad.

STL merupakan kerjasama antara PSM dan Asia Sports Ventures yang merupakan anak syarikat Astro yang berperanan untuk mengurus, membangun dan mempromosikan sukan sepak takraw di peringkat global.

Pusingan pertama dan kedua STL akan berlangsung di Stadium Negeri Kuala Terengganu pada 13 hingga 16 Disember diikuti pusingan kedua (22-23 November) dan ketiga (29-30 November) di Stadium Sultan Abdul Halim, Alor Setar, Kedah.

Stadium Tertutup Pasir Gudang di Johor Baharu, Johor akan menjadi venue pusingan keempat dan kelima, masing-masing pada 13-14 Disember dan 20-21 Disember, disusuli pusingan keenam (27-28 Disember) dan ketujuh (3-4 Januari 2015) di Stadium Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah di Bukit Serindit, Melaka.

Dua pusingan akhir (Grand Final) STL dijangka diadakan di Stadium Tertutup Titiwangsa, Kuala Lumpur, masing-masing pada 10-11 Januari 2015 (pusingan pertama) dan 17-18 Januari 2015 bagi pusingan kedua.

Berdasarkan format kejohanan, juara daripada setiap pusingan awal layak secara automatik untuk beraksi pada pusingan akhir kejohanan.

Naib juara dan pemenang tempat ketiga akan bersaing pada pusingan kalah mati membabitkan 16 regu bagi mencari lapan slot ke pusingan akhir.

Juara dan naib juara bagi setiap pusingan awal akan menerima wang tunai RM5,000 dan RM3,000 manakala pemenang tempat ketiga membawa pulang RM1,000.

Wang tunai RM20,000 menanti juara pusingan akhir kejohanan manakala naib juara (RM15,000), tempat ketiga (RM10,000), tempat keempat (RM5,000) manakala pemain paling bernilai akan menggondol wang tunai RM8,000.

Sepak Takraw, Khairy Jamaluddin

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan