suria

Boateng Kekal Jurulatih Kelantan - Annuar

KOTA BAHARU: Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) masih mengekalkan George Boateng sebagai jurulatih skuad Kelantan bagi menghadpi Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.

Presidennya Tan Sri Annuar Musa berkata spekulasi mengenai kedatangan jurulatih baharu ke Kelantan adalah tidak benar.

"KAFA malam tadi telah memutuskan untuk mengekalkan Boateng semusim lagi dengan perancangan baharu yang lebih mantap.

"Boateng akan dibantu oleh Hashim Mustapa, Sideek Samsudin dan Ismail Chawalit Abu Bakar," kata Annuar dalam entri terbarunya dalam laman sosial Facebooknya, Jumaat.

Akhbar pada Jumaat melaporkan masa depan Boateng menjadi tanda tanya apabila KAFA dilaporkan tidak berminat untuk menyambung kontraknya dan nama-nama seperti Mohd Azraai Khor Abdullah dan V. Sundramoorthy dikhabarkan akan menjadi pengendali Kelantan yang baharu.

Beliau berkata pihaknya juga masih mengekalkan Azman Ibrahim sebagai pengurus 'The Red Warriors' pada musim hadapan.

Sebagai rekod, pasukan Kelantan menduduki tangga keenam Liga Super musim ini dengan pungutan 31 mata selain mara ke peringkat separuh akhir Piala FA.


KAFA, Kelantan, Liga Super

Artikel Lain