suria

Penjaga Gol Pahang Khairul Azhan Terima Anugerah MVP

PETALING JAYA: Penjaga gol Pahang, Mohd Khairul Azhan Khalid dipilih sebagai Pemain Paling Bernilai (MVP) Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2014.

Khairul Azhan yang baru menyambut hari lahir pada 7 November lalu turut dipilih sebagai Penjaga Gol Terbaik sekaligus menjadikan pasukan Pahang mendominasi anugerah tahunan ini dengan membolot lima trofi keseluruhannya.

Tahun 2014 sememangnya tahun paling berjaya buat pasukan Tok Gajah selepas menjulang trofi Piala FA dan terbaharu Piala Malaysia.

Pengendali Pahang, Zainal Abidin Hassan dipilih sebagai Ketua Jurulatih Terbaik, manakala Razman Roslan menerima anugerah Pemain Pertahanan Terbaik musim ini dengan mengetepikan dua lagi calon lain iaitu, Mohd Aidil Zafuan (JDT) dan Muslim Ahmad (PDRM).

Melengkapi pencapaian terbaik Pahang tahun ini apabila Persatuan Bola Sepak Pahang turut meraih anugerah Persatuan Bola Sepak Terbaik.

"Saya masih lagi terkejut dengan anugerah ini dan tidak menduga untuk menerima trofi bernilai ini. Apa pun saya bersyukur dan berterima kasih kepada semua terutamanya jurulatih Dollah Salleh yang membawa saya masuk sebelum ini dan juga jurulatih Zainal Abidin.

"Tiada sebarang rahsia untuk kejayaan ini, apa yang penting adalah berlatih bersungguh-sungguh dan fokus dalam setiap permainan.

"Anugerah ini menjadi landasan untuk saya bermain dengan lebih baik lagi.

"Banyak lagi perkara yang perlu saya hadapi selepas ini dan bersaing untuk menjadi penjaga gol pertama negara," ujar Khairul Azhan yang kini menjadi penjaga gol ketiga skuad Harimau Malaya.

Khairul Azhan mengetepikan dua lagi calon pilihan Penjaga Terbaik iaitu Khairul Fahmi Che Mat (Kelantan) dan Mohd Izham Tarmizi (JDT).

Pemain Kelantan, Mohd Badri Radzi atau Piya dipilih sebagai Pemain Tengah Terbaik, diikuti Mohd Nor Farhan Mohd (Terengganu) sebagai Penyerang Terbaik.

Pemain muda Kedah, Muhammad Farhan Roslan yang dikenali 'Messi Kedah' meraih anugerah Pemain Muda Harapan, manakala pemain PDRM Ali Ashfaq dipilih sebagai Pemain Asing Terbaik.

Dalam pada itu, Persatuan Bola Sepak Terengganu dipilih menerima Anugerah Fairplay tahun ini.

Naib juara Piala Malaysia 2014, Johor Darul Takzim (JDT) menerima dua anugerah iaitu Kelab Bola Sepak Terbaik dan Kelab Penyokong Terbaik.

Selain itu, Anugerah Legenda Harimau Malaya diberikan kepada skuad sukan Asia 1974 apabila memenangi pingat gangsa Sukan Asia di Tehran.

Artikel Lain