NOVAK Djokovic akan menamatkan kempen pada 2014 sebagai pemain No.1 dunia selepas menewaskan Tomas Berdych 6-2,6-2 pada kejohanan Tenis Jelajah ATP Finals di Arena O2 London, malam Jumaat. Malah, pemain Serbia itu turut menempah tiket ke aksi separuh akhir. Menerusi kemenangan itu, Djokovic kini mengungguli tangga teratas Kumpulan A dan sudah pasti akan bergelar pemain No.1 dunia buat kali ketiga pada musim ini. "Diberi peluang untuk berdiri bersebelahan dengan trofi ini dan menjuarai pelbagai kejohanan sepanjang tempoh 12 bulan ini adalah satu perasaan yang mengagumkan. "Kejohanan ini belum berakhir. Saya mungkin mempunyai tempoh beberapa jam untuk meraikannya dan kembali beraksi di separuh akhir," katanya. Dalam perlawanan berasingan, Stanislas Wawrinka turut mengiringi Djokovic ke separuh akhir selepas menundukkan Marin Cilic, awal pagi Sabtu. Wawrinka menang 6-3, 4-6, 6-3 untuk menempah tiket ke separuh akhir untuk tahun kedua.