NUREMBERG: Thomas Mueller menjaringkan dua gol ketika Jerman menewaskan Gibraltar 4-0 pada pusingan kelayakan Euro 2016, awal pagi Sabtu. Kemenangan itu meletakkan pasukan kendalian Joachim Loew kembali memberikan saingan sengit dalam merebut aksi ke pusingan akhir kejohanan tersebut. Mueller membuka jaringan seawal minit ke-12 sebelum menambah gol kedua 17 minit kemudian. Mario Goetze pula meletakkan Jerman 3-0 pada minit ke-38 sebelum Yogan Santos menjaringkan gol ke gawang sendiri untuk memberikan gol keempat kepada pasukan tuan rumah pada minit ke-67. Gibraltar yang memiliki jumlah penduduk seramai 30,000 orang, beraksi buat pertama kalinya pada pusingan kelayakan ini. Pasukan itu pernah tewas 0-7 kepada Ireland dan Poland dalam aksi peringkat Kumpulan D. Bagaimanapun, Loew mengharapkan persembahan terbaik daripada anak buahnya untuk mencerminkan status mereka sebagai juara Piala Dunia. "Secara jujurnya saya masih tidak puas hati. Untuk juara Piala Dunia, empat gol masih tidak mencukupi. Kami tidak memanfaatkan segala peluang yang ada," kata Loew. Jerman ketinggalan tiga mata dibelakang pendahulu Kumpulan D, Poland. Poland menewaskan Georgia 4-0 menerusi jaringan Kamil Glik, Grzegorz Krychowiak, Sebastian Mila dan Arkadiusz Milik.