suria

TMJ Mahu Hak Siaran Berbayar Diberi Kepada Semua Pasukan Liga-M

Tunku Ismail Sultan Ibrahim
JOHOR BAHARU: Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengulangi cadangan supaya setiap pasukan dan kelab dalam Liga Malaysia (Liga-M) diberi hak penyiaran perlawanan.

Baginda bertitah bayaran hak penyiaran oleh penaja dilihat mampu mengurangkan beban kewangan yang dihadapi setiap tahun oleh setiap pasukan termasuk Johor Darul Ta'zim (JDT).

"Kunci untuk pembangunan bola sepak dan peningkatan kualiti dalam sesebuah pasukan di Malaysia ini adalah (diberi) hak siaran berbayar," titah baginda pada sidang media di Stadium Tan Sri Dato Haji Hassan Yunos, di Larkin, Selasa.

Tunku Mahkota Johor (TMJ) itu bertitah sekiranya setiap pasukan menerima hak siaran berbayar itu, ia akan memudahkan lagi mereka meningkatkan kualiti pemain dan pengurusan pasukan.

Tunku Ismail bertitah hak siaran berbayar tersebut pada masa ini dipegang oleh FAM yang kemudian mengagihkan jumlah insentif tertentu kepada semua persatuan dan kelab.

"Sepatutnya, bukan FAM yang patut salurkan (bayaran hak siaran), sebaliknya setiap pasukan yang patut menerima terus daripada penaja," titah baginda.

Menurut baginda, liga-liga bola sepak luar negara seperti di Jerman, Australia, Jepun atau Korea, peningkatan dan pembangunan bola sepak mereka banyak dibantu bayaran yang diterima melalui hak siaran itu.

Tunku Ismail mendakwa PBNJ hanya disalurkan RM1 juta sahaja setahun untuk hak penyiaran.

Menjawab soalan pemberita mengenai jumlah tajaan yang sepatutnya diterima oleh setiap pasukan, Tunku Ismail bertitah setiap pasukan Liga Super patut menerima sekurang-kurangnya RM3 juta hingga RM4 juta, bagi Liga Perdana RM2 juta-RM3 juta dan Liga FAM pula RM1 juta.
Liga-M, hak penyiaran, TMJ

Artikel Lain