JOHOR BAHARU: Kelemahan skuad kebangsaan, Harimau Malaya, hanya boleh diperbaiki dengan melakukan perubahan ke atas pengurusan pasukan tersebut, demikian pandangan Tunku Mahkota Johor (TMJ). Tunku Ismail Sultan Ibrahim, selaku penasihat Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), bertitah pengurusan yang lebih profesional boleh menjamin peningkatan prestasi pasukan tersebut. Walaupun mengakui pengalaman jurulatih Dollah Salleh membimbing skuad kebangsaan namun bertitah kepakaran jurulatih itu terhad dan negara memerlukan kepakaran dan bantuan jurulatih asing. "Saya berpendapat kelemahan dimiliki pasukan kebangsaan boleh diperbaiki dengan mengubah pengurusan pasukan. Kemudian, kita boleh menambah baik pasukan dan prestasi mereka," titah baginda pada sidang media di Stadium Tan Sri Dato Haji Hassan Yunos di Larkin, dekat sini, Selasa. Baginda bertitah demikian ketika mengulas perkembangan terkini skuad kebangsaan yang menampilkan aksi longlai dalam beberapa perlawanan persahabatan antarabangsa menjelang Kejohanan Piala AFF Suzuki 2014, Ahad ini. Tunku Ismail berharap Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, melantik individu yang benar-benar komited dalam badan induk itu bagi membangunkan bola sepak negara. "Sebuah organisasi bola sepak perlu diuruskan oleh para profesional yang memahami struktur sukan bola sepak dan boleh menjalankan tugas serta menyumbang bakti, bukannya sekadar bercakap," titah baginda yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ). Baginda bertitah setiap jawatankuasa dalam FAM perlu memberikan sepenuh komitmen dengan memainkan peranan masing-masing tanpa sibuk dengan hal peribadi. "Adakah individu-individu yang berkhidmat dalam FAM merupakan orang yang bertanggungjawab ataupun memegang jawatan untuk kepentingan tertentu dan agenda peribadi?. "Seharusnya, orang yang memegang jawatan harus memainkan peranan dan menjalankan tanggungjawab dengan berkesan. Jangan hanya memegang jawatan sekadar memenuhi syarat," titah Tunku Ismail. Semua presiden persatuan negeri sepatutnya melontarkan pandangan dan idea sekiranya mereka benar-benar komited serta sayangkan bola sepak Malaysia, titah baginda. "Kenapa hanya saya seorang sahaja yang bersuara?," soal baginda. Sebagai persiapan menghadapi Piala AFF Suzuki, skuad Harimau Malaya telah kalah dalam empat daripada lima perlawanan persahabatan antarabangsa. Skuad kebangsaan akan memulakan kempen Kumpulan B dengan menentang Myanmar Ahad ini, diikuti Thailand pada 26 November dan tuan rumah Singapura pada 29 November. Singapura menjadi tuan rumah perlawanan Kumpulan B manakala Vietnam menjadi tuan rumah Kumpulan A melibatkan Vietnam, Filipina, Indonesia dan Laos dari 22 hingga 28 November ini.