suria

Ada Sesuatu Yang Tidak Kena Dengan Liverpool

Semua dalam keadaan sugul...Kapten pasukan Liverpool, Steven Gerrard (kiri) dan penyerang Ricky Lambert selepas mereka melepaskan gol ketiga ketika bertemu Crystal Palace dalam perlawanan liga, pada Ahad.

ADA sesuatu yang tidak kena dengan Liverpool. Mereka bukan sahaja hilang harga diri dan perasaan bangga menyarung jersi merah pekat itu tetapi mereka juga hilang semangat melawan balik.

Hasil keputusan perlawanan terbaru yang menyaksikan mereka tewas 1-3 di tangan kelab bawahan Crystal Palace menceritakan segala yang tidak kena dengan kelab itu buat masa ini.

Lebih teruk mereka hilang daya juang dan keghairahan untuk menang. Itu yang lebih menakutkan.

Ini sama sekali berbeza dengan musim lalu yang menyaksikan mereka cuma kurang dua mata sahaja untuk muncul juara Liga Perdana Inggeris. Di manakah silapnya musim ini?

Dengan enam kekalahan daripada 12 perlawanan, jangankan kata hendak mempertahankan pencapaian musim lalu, hendak berangan-angan untuk muncul juara pun sudah boleh dilupakan oleh Brendan Rodgers dan anak-anak buahnya.

Rodgers malah berkata dia kini tidak ketepikan kebarangkalian akan dipecat jika situasi buruk ini berterusan. Seminggu yang lalu Rodgers mengakui yang dia sedang bergelut untuk mencari jawapan kepada misteri kejatuhan prestasi pasukannya musim ini.

Dalam situasi misteri seperti ini, tumpuan dan fikiran para penyokong, peminat dan juga penganalisa menjurus kepada tidak lain dan tidak bukan Luis Suarez.

Apakah pemergiannya ke Barcelona secara tiba-tiba menjadikan barisan hadapan hilang bisa? Tetapi pada masa yang sama persoalan yang perlu dijawab ialah, apakah pemain bertaraf dunia seperti itu dapat dihalang daripada meninggalkan Liverpool untuk mencari kegemilangan yang tak terbendung di Barcelona?

Siapa yang tidak mahu pergi ke Barcelona. Samalah juga bagaimana hendak menghalang Ronaldo daripada meninggalkan Manchester United tujuh tahun lalu.

Tapi United tidak terkedu dengan kehilangan Ronaldo sebaliknya Liverpool diambang kemusnahan akibat kehilangan Suarez. Mereka tidak ada jawapan kepada penganti pemain Uruguay itu. Manakan tidak, musim lalu dia menyumbat 31 gol dalam Liga Perdana sahaja.

Rodgers menyangkakan dua penganti Suarez - Adam Lallana dan Rickie Lambert - adalah jawapan kepada Liverpool tetapi apa yang sedang dilalui oleh kelab itu sekarang membuktikan, bolasepak adalah bidang yang penuh dengan risiko dan ketidakpastian.

Jika tidak, mana mungkin naib juara tahun lalu bergelut di tangga ke-12 sekarang.

Artikel Berikut

Artikel Lain