suria

Nasib Tak Menyebelahi Kami - Kapten Harimau Malaya

Insiden apabila Gary dilayangkan kad merah selepas menerima dua kad kuning pada minit ke 35 ketika menentang Myanmar, petang Ahad.

SINGAPURA: Kapten pasukan negara, Mohd Shukor Adan bangga dengan mutu permainan yang ditunjukkan rakan sepasukannya dalam perlawanan sulung Piala AFF Suzuki apabila berkeputusan tanpa jaringan ketika menentang Myanmar, petang Ahad.

Pemain berusia 33 tahun itu berkata, pujian wajar diberikan kepada skuad Harimau Malaya walaupun mencatat keputusan seri.

Pasukan itu, katanya, berhadapan cabaran apabila terpaksa mengatur pergerakan hanya dengan 10 pemain di padang seawal minit ke 35 berikutan kad merah yang dilayangkan kepada Gary Steven Robbat.

Bagaimanapun, insiden yang menimpa pemain tengah negara itu sama sekali tidak melunturkan semangat pasukan.

"Walaupun dengan 10 pemain, kami bermain dengan baik, cuba nasib tidak menyebelahi kami apabila gagal mendapat markah penuh ketika menentang Myanmar.

"Keseluruhannya saya berpuas hati dengan usaha rakan sepasukan," katanya.

Sementara itu, Gary memohon maaf atas apa yang berlaku dalam perlawanan pertama pasukan negara itu.

"Saya sedih kerana dibuang padang selepas kejadian itu kerana sudah bekerja keras untuk memastikan tersenarai dalam kesebelasan pemain negara dan kini saya tidak dapat beraksi pada perlawanan menentang Thailand, Rabu ini," katanya.

Malaysia menentang Myanmar di Stadium Jalan Besar, Singapura, Ahad ini sebelum bertemu Thailand dan Singapura masing-masing pada 26 November dan 29 November.

Singapura menjulang kejuaraan Piala AFF sebanyak empat kali iaitu pada 1998, 2004, 2007, 2012; Thailand (1996, 2000, 2002); Malaysia (2010) manakala Myanmar belum pernah muncul juara pada kejohanan dwitahunan itu.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Keputusan Serie A

Artikel Lain