suria

Perlawanan Schalke 04-Chelsea Curi Perhatian Kerana Roberto Di Matteo

Di Matteo menjulang Piala Eropah buat Chelsea pada 2012. Enam bulan kemudian kelab Barat London itu memecatnya.

PELAWANAN peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Eropah yang akan berlangsung awal pagi ini (waktu Malaysia) sudah pastinya akan tertumpu kepada pertemuan di antara wakil Jerman, Schalke 04 menentang wakil England, Chelsea.

Ini kerana buat pertama kalinya bekas pengurus Chelsea, Roberto Di Matteo akan kembali mengadap bekas kelab yang dibimbingnya sehingga muncul juara piala tersebut juga buat pertama kali hanya untuk dipecat enam bulan kemudian.

Di Matteo, 44, kini membimbing Schalke manakala tempatnya di Chelsea diambilalih oleh Jose Mourinho.

Perlawanan tersebut akan disiarkan secara langsung menerusi saluran Astro 811 dan 833 pada jam 3.40 pagi Rabu.

Chelsea yang kini mendahului Kumpulan G dengan lapan mata akan layak ke pusingan kalah mati 16 pasukan jika mereka mengalahkan Schalke. Malah jika mereka seri dengan jaringan dua gol, mereka tetap layak ke pusingan berikut.

Sebaliknya jika Schalke menumpaskan mereka, ini bermakna, belum ada pasukan yang muncul sebagai juara kumpulan kerana kelab Jerman itu akan menyamai mata dengan Chelsea.

Mereka perlu menunggu sehingga ke perlawanan terakhir untuk menentukan juara dan naib juara kumpulan.

Juara dan naib juara kumpulan layak ke pusingan kalah mati 16 pasukan.

Di Matteo dan Mourinho masing-masing telah merasai detik-detik manis menjuarai Piala Eropah iaitu piala paling berprestij di benua Eropah malah di dunia.

Yang membezakan mereka ialah Di Matteo memenangi piala itu untuk Chelsea walaupun hanya sekali berbanding Mourinho dua kali tetapi belum pernah melakukannya untuk Chelsea.

Dari sudut itu, nama Di Matteo akan tetap dikenang sebagai orang yang pertama membawa pulang piala itu ke Stamfford Bridge manakala Mourinho memenanginya untuk kelab lain (Inter Milan dan FC Porto).

Tetapi walaupun Di Matteo mencipta sejarah yang paling gemilang untuk Chelsea dia tetap dipecat (enam bulan kemudian) ekoran prestasi tidak menentu Chelsea dalam liga.

Walaupun dia diberi kontrak tetap dua tahun oleh pemilik Chelsea, Roman Abramovich sebaik sahaja mereka muncul juara Eropah tetapi kemudiannya Abramovich sendiri mula ragu-ragu dengan kemampuan teknikal Di Matteo.

Di Matteo kemudiannya dipecat tetapi gajinya tetap dibayar setiap bulan oleh Abramovich selagi dia tidak diambil bekerja oleh mana-mana kelab.

'Kontraknya' bersama Chelsea hanya benar-benar tamat apabila Schalke 04 melantiknya sebagai pengurus Schalke awal Oktober lalu - kurang lebih dua tahun selepas dipecat oleh Chelsea.

Awal pagi ini, Mourinho akan membimbing Chelsea memasuki gelanggang Schalke di Stadium Veltins Arena, Gelsenkirchen - tempat di mana dia menjulang piala yang sama untuk Porto pada 2004.

Mourinho percaya tahun ini adalah tahun yang cemerlang buat dirinya. Dia sedang mengejar Piala Eropah yang ketiga dalam kariernya dan kali ini bersama Chelsea dan dia telah pun mengharungi 18 perlawanan musim ini tanpa kalah.

Kedua-dua mereka mempunyai legasi yang tersendiri.

Selamat menonton...

Artikel Sebelum

PSG Mahukan Angel Di Maria

Artikel Berikut

Artikel Lain