KUALA LUMPUR: Juara bertahan Malaysia mencerahkan peluang memburu slot separuh akhir selepas menewaskan Filipina 4-0 pada Kejohanan Badminton Piala Axiata 2014 di Britama Arena, Jakarta, Selasa. Kemenangan itu melonjakkan Malaysia ke tangga ketiga dengan 15 mata selepas enam perlawanan dan akan mengakhir saingan pusingan awal menentang Singapura pada Rabu. Pada Isnin, Indonesia menjadi pasukan pertama mengesahkan tempat ke separuh akhir selepas mengumpul 18 mata dengan memenangi empat perlawanan dan satu seri. Indonesia akan menentang pasukan Bintang Eropah lewat Selasa sebelum melengkapkan jadual dengan menentang Thailand pada Rabu. Hanya empat pasukan terbaik selepas satu pusingan akan mara ke peringkat separuh akhir di Stadium Badminton Kuala Lumpur di Cheras di sini pada Ahad dan Isnin depan. Ketika ini, Thailand menduduki tangga kedua dengan 18 mata, Bintang Asia di tangga keempat (12 mata) diikuti Bintang Eropah dengan 10 mata. Kejohanan tahunan ini menawarkan hadiah wang tunai AS$1 juta (RM3.42 juta). Dalam pertemuan dengan Filipina, pemain perseorangan lelaki negara, Chong Wei Feng menundukkan Jayson Oba-on dengan 21-12 dan 21-14 sebelum perseorangan wanita, Tee Jing Yi menumpaskan Airah Mae Nicole Aldo dengan mudah, 21-12 dan 21-12. Episod membanggakan pasukan Malaysia terus bersinar apabila gandingan beregu lelaki, Tan Boon Heong dan Tan Wee Kiong mengalahkan Philip Joper Escueta dan Ronel Estanisao 24-22 dan 21-11. Mata keempat Malaysia diperoleh daripada gandingan beregu campuran, Chan Peng Soon dan Lai Pei Jing selepas mereka menyekat kemaraan Peter Gabriel Magnaye dan Eleanor Cristine Inlayo, 21-16 dan 21-17. Kejohanan edisi kali ini masih mengekalkan format sama merangkumi lapan pasukan terdiri daripada enam negara dan dua pasukan jemputan mewakili Asia dan Eropah. Selain Malaysia, kejohanan itu turut disertai pasukan dari Indonesia, Thailand, Filipina, Vietnam, Singapura serta dua pasukan jemputan, Bintang Asia dan Bintang Eropah.