SALURAN televisyen NBC mendedahkan siaran langsung perlawanan antara Manchester United menentang Arsenal pada 22 November lalu mencatatkan jumlah penonton Liga Perdana Inggeris (EPL) tertinggi di Amerika Syarikat (AS) iaitu sebanyak 1.41 juta. Jumlah itu sekaligus merekodkan sejarah baharu dalam siaran langsung melibatkan EPL di negara berkenaan. Jumlah penonton paling ramai menyaksikan siaran langsung EPL di AS sebelum ini ialah sebanyak 1.38 juta - direkodkan ketika Manchester United seri 3-3 dengan Chelsea pada 2012. Selain itu, perlawanan antara United dan Arsenal juga berada di kedudukan kelima dalam ranking siaran langsung menerusi dalam talian (streaming) dengan mendapat jumlah pelawat seramai 81,000 di laman web NBC Sports. Daripada jumlah itu, seramai 63,000 merupakan pelawat baharu di laman web tersebut. Siaran langsung yang menyaksikan United menewaskan Arsenal 2-1 itu dikendalikan oleh Arlo White dan bekas pertahanan Arsenal, Lee Dixon.