suria

Perletakan Jawatan Empat Jurulatih FAM Jadi Tanda Tanya

PETALING JAYA: Seperti ada sesuatu yang tidak kena dalam pengurusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) selepas beberapa orang jurulatih kebangsaan mengambil keputusan untuk melepaskan jawatan masing-masing.  


Dalam keterujaan menyaksikan aksi Harimau Malaya mara ke separuh akhir Piala AFF Suzuki, kita mungkin terlepas pandang dengan berita perletakan jawatan empat  jurulatih kebangsaan tanpa diduga.

Jacob Joseph selaku jurulatih wanita bola sepak wanita negara, Maizal Hairi Marzuki ketua jurulatih futsal dan Mazlan Abdul Wahid jurulatih penjaga gol bagi pasukan Harimau Muda B mengakhiri tugas mereka hujung bulan lalu.

Dan yang terbaharu perletakan jawatan ketua jurulatih pasukan Bawah 16 Tahun kebangsaan, S. Balachandran.

Jika perletakan jawatan itu tidak dilakukan serentak atau dalam tempoh terdekat, mungkin perkara ini tidak menjadi tanda tanya, namun sebaliknya berlaku. 

Ironinya kesemua alasan perletakan jawatan ini dilihat seperti ada sesuatu yang diselindungkan kerana apa yang diberitahu oleh salah seorang jurulatih tersebut tidak terlalu kukuh kerana berdasarkan pencapaian skuad dibimbingnya itu, ia tidaklah terlalu mendukacitakan malah mencapai sasaran yang dibuat dalam kejohanan tahun lalu.

Belajar daripada pengalaman lalu (beberapa individu yang pernah digantung kerana mengkiritik pengurusan FAM), kemungkinan mereka tidak mahu menerima nasib yang sama sehingga terpaksa menutup mulut untuk mendedahkan apa sebenar yang dirasai mereka.

Menurut sumber terdekat, ada ‘sesuatu’ yang tidak kena kerana ‘ramai’  pegawai dalam FAM meletak jawapan, cuma perkara itu tidak didedahkan.

Jika benar ada pergolakan dalaman, seharusnya mereka yang berkenaan perlu megambil tindakan yang lebih wajar kerana jurulatih-jurulatih ini bukan setahun dua bersama pasukan kebangsaan, malah sudah bertahun lamanya.

Walaupun situasi meletak jawatan ini bukanlah  sesuatu yang pelik bagi seorang jurulatih tetapi apa yang berlaku sekarang menjadi tanda tanya.

Menurut Jacob, dia meletak jawatan di atas kehendaknya sendiri selepas berbincang dengan Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin.

Jelasnya, memandang pasukan bola sepak wanita tidak ada sebarang kejohanan besar tahun depan, dia mahu berehat selama setahun sebelum kembali mengambil alih pasukan pada tahun 2016.

“Perkara ini telah dibincangkan dan beliau mengizinkan saya untuk mencuba sesuatu yang baharu sebelum skuad wanita ada program tersendiri. Dan saya akan kembali melatih mereka pada tahun 2016,” katanya dihubungi mStar Online.

Sementara itu, perletakan jawatan Balachandran juga telah diterima oleh FAM, namun enggan mendedah maklumat lanjut mengenai perkara itu.

“Saya sudah bertemu dengan Datuk Hamidin namun saya tidak boleh memberitahu kenapa keputusan ini dibuat dan saya mempunyai alasan tersendiri,” jelasnya terus berselindung.

Keputusan mengejut bekas pemain kebangsaan dan Kuala Lumpur itu menimbulkan pelbagai pelbagai, lebih-lebih lagi selepas pencapaian cemerlang skuad muda bimbingannya.

Balachandran masih mempunyai kontrak bersama FAM sehingga Disember 2015.

Dua bulan lalu, pasukan bimbingannya hampir melangkah kaki ke Piala Dunia FIFA Bawah 17 Ttahun di Chile 2015, namun terkandas 2-1 pada saingan separuh akhir kelayakan kepada Australia di Stadium Muangthong, Bangkok.

Skuad tersebut mara ke separuh akhir selepas bergelar naib juara kumpulan A di belakang Korea Selatan.

Malah pada Ogos lalu, pasukan muda ini dinobatkan sebagai juara Piala Juara-Juara Asia FAM-Frenz 2014 sekaligus melonjak nama negara dalam saingan peringkat remaja.

Manakala pada tahun 2013, anak buah Balachandran turut mencatat sejarah tersendiri apabila merangkul gelaran Piala AFF B16 di Myanmar buat julung kalinya.

FAM, jurulatih kebangsaan

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain