KUALA LUMPUR: Tenaga Nasioal Berhad (TNB) dan Maybank layak ke separuh akhir Kejohanan Hoki Piala TNB 2014 setelah mencatat kemenangan agregat pada aksi suku akhir kedua di Stadium Hoki Bukit Jalil, di sini, Ahad. TNB terlebih dahulu mengesahkan tempat ke separuh akhir dengan agregat 8-5 selepas menundukkan Sapura 4-2 pada aksi sebelah petang. Pemain handalan TNB, Azril Misron membuka jaringan menerusi gol padang pada minit kesembilan sebelum Muhammad Najib Abu Hassan menggandakan jaringan hasil gol padang pada minit ke-25. Sapura hanya memperolehi gol pertama hasil pukulan sudut penalti yang dijaringkan oleh Khasif Ali pada minit ke-29. Bagaimanapun skuad TNB di bawah kendalian jurulatih Mohd Saiful Zaini Nasiruddin kembali bangkit menjaringkan gol ketiga menerusi Norhizzat Sumantri pada minit ke-36. Bagaimanapun, Sapura merapatkan jurang jaringan menerusi Shahzad Aamir pada minit ke-37. TNB mengesahkan kemenangan menerusi gol padang yang dijaringkan oleh Mohammad Izad Hakimi Jamaluddin pada minit ke-57. Sementara itu, Maybank turut layak ke pusingan separuh akhir pertama selepas mengumpul agregat 5-4 selepas membelasah UniKL 4-1 malam ini. Empat gol Maybank masing-masing dua dijaringkan oleh Hafifi Hafiz Zainal pada minit ketujuh dan ke-45' dan Mohd Zulhairi Hashim (minit ke-11 dan 42'). Gol gol tunggal UniKL disumbangkan oleh Kevin Lim pada minit ke-13. Pada aksi separuh akhir pertama Rabu ini, TNB akan menentang naib juara liga, Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) di Stadium Hoki Bukit Jalil dan Maybank pula bertemu juara liga, Pasukan Hoki Terengganu (THT) di Stadium Hoki Majlis Perbandaran Kuala Terengganu, Terengganu.