suria

Piala AFF Suzuki: Malaysia Kecundang Di Laman Sendiri

Pasukan Malaysia ternyata kecewa di akhir perlawanan separuh akhir pertama Piala AFF Suzuki apabila ditewaskan pasukan Vietnam di Stadium Shah Alam pada malam Ahad. Malaysia tewas 2-1 kepada vietnam. Foto BERNAMA.
SHAH ALAM: Pasukan Malaysia gagal memanfaatkan peluang bermain di laman sendiri selepas tewas 1-2 kepada Vietnam pada aksi separuh akhir pertama di Stadium Shah Alam, Ahad.

Pastinya tugas berat menanti skuad Harimau Malaya di Hanoi pada saingan kedua Khamis ini malah skuad bimbingan Dollah Salleh ini tidak ada pilihan lain kecuali menang sekurang-kurangnya dua gol di sana nanti.

Pasukan Malaysia berjaya membuka jaringan awal pada minit ke-13 menerusi sepakan penalti kapten pasukan, Safiq Rahim selepas bola terkena tangan pemain Vietnam di kawasan kotak penalti.

Namun kegembiraan itu hanyalah seketika sahaja apabila pemain Vietnam, Vo Huy Toan menyamakan kedudukan pada minit ke-31 melalui sepakan kaki kirinya, sekaligus menewaskan penjaga gol negara, Khairul Fahmi Che Mat. 


Pemain Harimau Malaya, Safee Sali (jersi 10) membuat tendangan di dalam kawasan kotak penalti sambil bola ditanduk pemain Vietnam pada perlawanan separuh akhir pertama Piala AFF Suzuki, Malaysia menentang Vietnam.

Kelonggaran barisan pertahanan memudahkan pemain-pemain lawan melakukan cubaan berbahaya, malah kepantasan mereka sukar dihalang pemain negara.

Sementara itu, pada babak kedua permainan, tidak banyak aksi-aksi  menarik yang mampu menambah gol buat buat pasukan Harimau Malaya.

Kelincahan pemain lawan, Nguyen van Quyet yang berjaya melepasi pemain pertahanan Zubir Azmi membuahkan gol kedua kepada Vietnam pada minit ke-59.

Pada minit ke-71, Norshahrul Idlan diganti dengan Manaf Mamat.

Hujan lebat menambah tekanan skuad negara untuk mencari gol penyamaan, namun sehingga wisel penamat, mereka gagal mencari sebarang jaringan.

Vietnam yang dibimbing jurulatih dari Jepun Toshiya Miura berjaya mengutip kemenangan pada aksi pertama ini.

Senarai pemain:

Malaysia: Mahali Jasuli, Safiq Rahim (kapten), Norshahrul Idlan Talaha, Mohd Safee Sali, S.Kunanlan, Azammuddin Mohd Akil, Mohd Hafiz Kamal, Muhammad Zubir Mohd Azmi, Khairul Fahmi Che Mat, Mohamad Muslim Ahmad, Mohamad Fadli Shas

Vietnam: Le Phuoc Tu, Dinh Tien Thanh,Nguyen Van Bien, Ngo Hoang Thinh, Le Chong Vinh (kapten), Nguyen Anh Duc, Que Ngoc Hai, Pham Thanh Luong, Tran Nguyen Manh, Vo Huy Toan, Nguyen Hai Anh

Artikel Lain