suria

Van Persie Hadiah Jersi, Kongsi Kegembiraan Bersama Penyokong MU

SELEPAS mempamerkan kemahirannya di atas padang untuk membantu Manchester United mengalahkan Southampton , bekas penyerang Arsenal, Robin van Persie melanjutkan pesonanya di kalangan peminat dengan menghadiahkan jersi yang dipakainya kepada seorang remaja perempuan.

Sejurus selepas pengadil meniup wisel penamat, pemain MU meraikan kemenangan penting itu untuk membolehkan kelab kendalian Louis van Gaal melonjak ke tangga ketiga liga.

Namun pemain dari Belanda itu kemudian berjalan ke satu bahagian stadium yang dikhaskan untuk penyokong MU sebelum membuka jersinya dan menyerahkan pakaian itu kepada seorang remaja bertuah.

Van Persie jelas terlalu gembira dengan kemenangan 2–1 awal pagi Selasa itu kerana sebelum ini sesetengah pihak mempertikaikan kemampuannya di atas padang, manakala peminat pula kian meragui nasib MU kerana terperosok di kedudukan bawah liga.

Kejayaan ke atas Southampton itu membolehkan MU mencatat kemenangan kelima mereka setakat ini.

Namun di sebalik itu, van Gaal mempunyai sebab untuk terus bimbang.

Data menunjukkan sepanjang perlawanan MU dan Southampton itu, anak didik van Gaal hanya dapat membuat enam sentuhan di dalam kawasan kotak penalti lawan berbanding 26 untuk anak buah Ronald Koeman.

Daripada jumlah itu, MU hanya sempat melakukan tiga cubaan ke pintu gol Southampton.

Apa yang lebih mengejutkan ialah tindakan van Gaal membiarkan pemain yang menyebabkan MU membelanjakan lebih RM30 juta untuk dipinjamkan selama satu musim, Radamel Falcao, kekal di bangku simpanan.

Alasan van Gaal, Falcao kekurangan bisa dan hanya mampu bermain 20 minit di atas padang gara-gara kurang cergas.
Robin van Persie, jersi, MU

Artikel Lain